Friday, December 31, 2010

Bila Diri Disayangi..

Bismillahirrahmanirrahim...

Alhamdulilah,antara lafaz yang agung mampu dilafaz sebagai tanda kesyukuran seorang hamba kepada Sang Penciptanya.

Alhamdulilah,bukan sebarang kalimah,malah diucap oleh para penghuni syurga sejenak kaki menjejak 'jannatullah'.

Alhamdulilah,ringkas sebutannya,dihargai oleh Allah si penyebutnya.

***************************************************************************************

Peperiksaan akhir modul bakal menjelma kurang dari 48 jam lagi.Otakku seolah-olah tidak lagi mampu dipaksa untuk memamah ratusan perkataan yang tertera dalam buku modul Central Nervous System (CNS).

Lantas aku bangun dari tempat dudukku.Mundar-mandir sebentar di kawasan ruang tamu rumah sewaku.Mataku tertarik untuk melihat helaian kertas dari unit artikel Perubatan Cawangan Iskandariah (PCI) yang bertajuk 'HAYYA A'LA FALAH'.

Baris pertama telah habis kubaca.
"Ah,terlalu skema.Malaslah nak baca,"bisik hati kecilku.

Aku mengatur langkah namun aku terhenti seketika.
"Eh,alang-alang dah baca,biar habis.Bukan semua orang berpeluang nak baca.Mungkin yang Allah pilih je dapat baca,"monologku lagi.

Artikel yang panjang tadi telah habis kubaca.Antara kandungannya, para pelajar tidak sepatutnya menuntut ilmu semata-mata kerana peperiksaan malah perlu diniatkan kerana Allah dan untuk membangunkan umatNya.Selain itu,penulis ada menegur cara para pelajar melepaskan stres belajar dengan mendengar 'walk-man' dan menonton filem adalah kurang sesuai atas alasan ilmu itu suci dan memerlukan hati yang bersih untuk menerimanya.

Aduh,terkena lagi di batang hidung sendiri.Memang tidak dapat kunafikan bahawa aku sering mendengar 'walk-man' dan kadang kala diselang-seli pula dengan menonton filem untuk melepaskan stres dek kepenatan belajar seharian.Namun,kurasakan caraku ini perlu diperbaiki lagi.

Langkahku diatur semula ke arah komputer ribaku.Laman web 'Youtube' kubuka.Jari-jemariku pantas menaip satu judul nasyid di bahagian 'carian'.Tidak lama kemudian,kedengaran lagu nasyid kegemaranku didendangkan.Selesai lagu itu dimainkan,aku membelek-belek lagi video-video yang berkaitan.Mana tahu ada nasyid yang kuberkenan di hati.

Akhirnya,aku tertarik dengan sebuah video yang berjudul 'TOGETHER TO JANNAH' lantas kumainkan.Sebaliknya,bukan nasyid yang terkandung di dalam video itu.Tetapi cuma sebuah rancangan motivasi kerohanian.

Tanganku pantas sahaja mahu menukar video tersebut dengan video nasyid yang lain.
Tiba-tiba,mataku terlihat sebuah komen bahawa seorang gadis baru sahaja memeluk Islam setelah melihat video tersebut.

Niatku untuk menukar video itu terus terbantut.
"Pasti pengisian video sangat hebat,kalau tidak masakan ada orang yang tersentuh lalu memeluk Islam,"hati kecilku berbicara lagi.
Aku mula menonton video tersebut dengan penuh khusyuk.
Usai menonton,aku terpana seketika.Sungguh hebat manusia yang berbicara dalam video ini.Mulianya usahanya sehingga kata-katanya menjadi pemangkin semangat orang kafir untuk memeluk Islam.Sungguh berhikmah lagi meyakinkan.

Aku bermuhasabah seketika.

Ya Allah,di saat-saat jiwaku terasa kosong,Allah sentiasa mengurniakan hidayahNya dengan jalan yang tidak disangka-sangka.
Mula-mula,Allah temukan daku dengan artikel PCI di saat aku kebosanan akibat belajar.
Seterusnya,Allah menemukan pula aku dengan video yang sangat hebat itu.
Sungguh aku merasakan diri ini amat disayangi olehNya.
Seolah-olah,Allah tidak membenarkan hatiku sunyi tanpa hidayahNya.
Segala puji Allah yang menyelamatkan aku dari jalan sia-sia.
Indahnya perasaan bila diri disayangi.
Lebih-lebih lagi disayangi oleh Sang Pencipta.
Terima kasih,Allah atas kasih sayangMu!





0 Apa kata mereka?:

Post a Comment