Thursday, October 22, 2009

Ujian dan dugaan mula menjengah..











Bismillahirrahmaanirrahim..
Alhamdulilah,hari ini Allah masih memberikan saya dan rakan-rakan bernafas sebagai hambaNya di bumi Mesir ini untuk meneruskan perjuangan sebagai pelajar perubatan.Syukur juga kami panjatkan padaNya kerana terpilih diberi jutaan nikmat kepada kami dari jutaan manusia yang ada di dunia ini.

Belajar tanpa buku..
Minggu ini sudah memasuki minggu kedua kami menuntut di Universiti Iskandariah sebagai pelajar perubatan.Subjek nampak ringan pada fasa permulaan ini.Realitinya,subjek untuk modul pertama ini memerlukan perhatian dan pemahaman kalau pun bukan untuk diri sendiri tetapi untuk peperiksaan yang bakal menjelma seminggu lagi.Kami sendiri terkejut bila dikhabarkan akan menduduki peperiksaan dalam masa terdekat.Antara subjek modul 1 ialah Medical History,Statistic,Medical Terminology,Ethics dan E-learning.
Malangnya,buku untuk modul pertama masih belum boleh diedarkan kerana masalah teknikal.Kami terpaksa belajar menggunanakan website universiti dan menyalin 'lecture notes' secepat mungkin ketika kelas.Memang sukar.Bayangkan pelajar perubatan belajar tanpa buku.Sungguh merunsingkan.Tulisan pun seperti cakar ayam kerana menyalin nota yang banyak kecuali pada insan-insan yang mempunyai tulisan yang kemas.

Senaman hari-hari..

Hari-hari kami terpaksa berjalan kaki untuk ke kuliah.Perjalanan biasanya mengambil masa 15 minit.Selalunya kami akan berjalan dengan sangat laju seperti orang Jepun lagaknya kerana sering kelewatan bersiap dari asrama.Penatnya usah ditanya.Hanya orang yang mengalaminya akan memahaminya.Mungkin masih belum dapat menyesuaikan hidup di sini dengan jadual kuliah yang sangat meletihkan.Kadang-kadang kami terpaksa ke kuliah sebelum pukul 8 pagi dan kuliah berakhir pada pukul 4 petang.
Kebanyakan dari kami risau berat badan akan bertambah apabila tiba di Mesir kerana hari-hari kami makan makanan arab yang berunsurkan karbohidrat dan protein yang sangat tinggi seperti roti,daging,kentang goreng,falafel,macaroni,roti dan roti lagi..Tapi apabila memikirkan kami terpaksa berulang alik dari asrama ke universiti yang jauh jaraknya,pasti lemak pun tidak sempat berkumpul kerana semua tenaga habis digunakan.Semuanya andaian kami semata-mata.

Antara Nabi Musa dan Firaun..
Sebelum kami berpijak di bumi Mesir ini,kami sering diperdengarkan "Mesir itu tempat nabi Musa dan Firaun.Orang-orang di sana pun begitu juga.Kamu pilihlah jalan hidup kamu sama ada nak jadi Firaun atau nabi Musa".

Apabila sampai di sini,perkara itu sangat jelas.Selalunya kami akan jumpa orang arab yang banyak karenahnya.Kadang-kadang kami terjumpa orang arab yang sangat baik dan peramah.Biarpun begitu, kami sangat berhati-hati dan memegang prinsip 'jangan percayakan arab'.Semalam kami berjalan-jalan di Mansiyah.Sesudah penat berjalan tekak pun mula haus.Kami singgah di kedai minuman.Di sana seorang pak cik arab melayan kami dengan sangat ramah dan memberi peluang kami merasa jus khurub.Sampai hari ini saya tidak tahu apa namanya di dalam bahasa Melayu.Jus itu sungguh sedap dan segar.

Di kedai yang lain pula,kami dipuji sebagai 'ahsan nas' kerana berasal dari Malaysia.Ada dua perkataaan baru yang dapat kami pelajari di sana.Walaupun hanya dua perkataan,kami sangat bersyukur.Inilah yang dikatakan nikmat belajar di negara orang.

Pada hari ini,kami diuji dengan sikap orang arab yang bersikap sambil lewa.Bayangkan kami terpaksa menempuh jalan yang sangat jauh untuk ke kuliah kerana pintu jalan singkat belum dibuka oleh orang arab itu.Sudahnya kami kepenatan yang teramat sangat.Mujur pensyarah hari ini sangat bijak memberi huraian sehingga kami betul-betul faham.Alhamdulilah..
Namun begitu,semua ujian dan dugaan di sini kami anggap sebagai kafarah dosa bagi membersihkan hati kami untuk menuntut ilmu.Kami redha dengan ujianNya.Ini menandakan Allah masih mengingati kami dan mahu kami kembali mengingatinya kerana cintaNya kepada kami sangat tinggi.Alhamdulilah..

Esok hari Jumaat,satu-satunya cuti dalam seminggu bagi pelajar perubatan Universiti Iskandariah.InsyaAllah,esok saya dan rakan-rakan berniat hendak berjalan-jalan di sekitar bandar Iskandariah sekadar mengetahui selok-belok di sini bagi memudahkan kami pada masa akan datang.Sekian sahaja untuk hari ini.Segala yang baik datangnya dari Allah dan yang buruk datangnya dari saya hakikatnya kedua-duanya datang dari Allah disandarkan pada saya hambaNya yang lemah ini.Sekian,wassalam.















2 Apa kata mereka?:

Megat Abdul Al-Hanis said...

erm...bnyk btol dugaan ye..xpe2..troskan berjihad moge dirahmati allah...sntiasa update ye..

aku hanya insan (^_^) said...

insyaAllah..moga diberi kekuatan oleh Allah untuk terus update..amin..

Post a Comment