Wednesday, March 23, 2011

Serunding Untuk Along..

Bismillahirrahmanirrahim..


Sudah sekian lama blog ini tidak disajikan dengan tulisan-tulisan yang baru.

Mungkin hari ini,semangat untuk menulis baru datang.



******************************************************************************************

Bandar Iskandariah masih sama.Walaupun episod hitam itu baru sahaja sebulan berlalu,bandar ini sudah kelihatan aman.Udara dinginnya pun tak berubah,cuma kadang-kadang terasa bahang dek sinaran matahari yang terik.



Setelah berada dalam perjalanan hampir sehari suntuk,kami tiba di rumah.Alhamdulilah,rumah kami masih selamat dari sebarang kejadian pecah rumah dan seumpamanya.



Perut terasa berbunyi.Aku tahu perut minta diisi,tapi nafsu makanku hilang entah ke mana.Bilik yang berdebu segera kusapu agar senang untukku mengemas barang.Keperluan perut aku biarkan sahaja ia berbunyi berlagu sendu.Kejam sungguh aku pada diri sendiri.



Selesai mengemas,aku mencari makanan di dalam peti ais.Barang mentah hampir habis.Terbang habis 'mood' untuk memasak.Tiba-tiba,aku teringatkan serunding yang Mama bekalkan untukku.



Bekas tinggi oren itu kubuka.Lantas mengajak rakan-rakan serumah yang lain untuk menjamah sama.Perutku akhirnya berhenti berbunyi.



Sambil menjamah serunding beserta bubur,mindaku teringat kembali kenangan-kenanganku di Malaysia,tanah air yang sangat aku cintai.



*****************************************************************************************

"Assalamua'laikum,"ucapku ketika kaki menjejak rumah.

Adik-adikku yang membuka pintu.Aku bergegas menunaikan solat maghrib kerana beberapa minit lagi waktu Isyak pula akan tiba.Bukan aku sengaja untuk melambat-lambatkan solat,tapi aku baru sahaja pulang dari menemui kawan-kawan lamaku di sekitar Shah Alam.Dalam perjalanan pulang,aku pula tersesat jalan dek terkeliru oleh pelbagai lebuh raya yang baru dibina.



Azan Isyak berkumandang sejurus aku selesai solat maghrib.Tanpa lengah,aku kerjakan pula solat Isyak dengan wudhuk solat Maghrib.Kemudian,aku turun ke bawah untuk membantu ibuku memasak serunding.



Bau serunding tadi sudah tidak sekuat tadi ketika aku tiba di rumah.Aku menjengah dapur.Ibuku tiada di situ malah api dapur pun telah dimatikan.

"Serunding dah siap kot.Kesian Mama masak serunding sorang-sorang,"bisik hati kecilku.



Aku melangkah ke ruang tamu,kulihat Mama sudah terbaring kepenatan di atas sofa.Matanya terpejam.Rasa bersalahku kerana tidak menolongnya masak serunding menjadi-jadi.Kasihan benar melihatnya kepenatan begitu.Cepat-cepat aku membuka televisyen untuk mendamaikan hati yang gundah.



"Along,nanti tolong sambung kacau serunding atas dapur tu ye?,"tiba-tiba Mama bersuara.

"OK,"jawabku ringkas.

Belum siap lagi serunding ni,boleh tolong lagi,fikirku.



Tet..Tet..

Telefon bimbitku berbunyi.



"Along,ada orang 'call' awak,"laung Mama dari arah ruang tamu.

Aku terus membalik-balikkan serunding dalam kuali bersaiz besar itu.

'Call' tu tak penting,yang lebih penting tolong Mama masak serunding,monologku lagi.



"Along,awak naik la dulu.Tengok siapa 'call'.Mama ambik alih 5 minit,kejap lagi awak sambung lagi,"suara Mama muncul tiba-tiba dari arah belakangku.Entah bila Mama ke dapur,tidak pula aku perasan.



Bergegas aku naik ke atas untuk melihat siapakah gerangan yang menghubungi aku.Rupa-rupanya,hanya mesej sahaja yang kuterima.Tiada siapa pun yang menghubungi aku malam itu.



Usai membalas mesej,aku turun semula untuk memasak serunding.Setiba di dapur,aku lihat ibuku dari belakang.Lehernya berpeluh-peluh,tangan kirinya mencekak pinggang cuma sesekali membetulkan posisi kuali,mukanya berminyak-minyak menahan udara panas yang terbit dari masakannya manakala tangan kirinya tak henti-henti membalik-balikkan serunding.

Aku tahu kakinya tidak mampu berdiri lama,pinggangnya pasti terasa sengal.Semuanya dilakukan demi kasih sayang seorang ibu terhadap anak-anaknya.Hatiku tersentuh.



Lalu kurapati dirinya,senduk ditangannya kuambil.Aku sambung semula kerja-kerja memasak serunding.Keesokan harinya,Mama menyambung kerjanya.



"Serunding kena kacau lama-lama atas dapur.Baru garing.Sedap,"katanya apabila aku menjengahnya di dapur.



"Garen-garen ke,Mama?,"tanyaku bergurau.Kami ketawa bersama.Aku dan Mama memang suka mengajuk loghat orang Perak.



"Pijak belakang Mama kejap,"pinta Mama kepadaku.



Tanpa membuang masa,aku menuruti arahannya.hanya itu sahaja yang aku mampu lakukan untuk membalas jasa-jasanya.



*****************************************************************************************

Lamunanku terhenti apabila melihat rakan-rakanku sudah habis makan bubur masing-masing.

Sebenarnya,aku memang sengaja makan lambat-lambat untuk menikmati serunding yang Mama buat untukku dengan penuh kasih sayang.



Serunding Mama bukanlah serunding terbaik di dunia,tapi bagiku inilah serunding terbaik untuk Along.Setiap kali aku rindukan Mama,aku jamah sedikit serundingnya.Seolah-olah aku dapat merasa kasih sayangnya menjalar di segenap tubuh apabila aku menjamah serundingnya.

Maha Hebat Allah,Tuhan yang menciptakan makhluk yang berkasih sayang keranaNya.



Terima kasih,Mama atas jasa-jasa,doa dan kasih sayangmu buat kami semua.

Ya Allah,peliharalah keselamatannya di dunia dan akhirat kerana kami begitu mengharapkan doa kudus daripadanya.

Semoga Allah menjadikan orang-orang yang menyayangiku merupakan jiranku di syurgaNya.Amin.



Sabda Rasulullah SAW: “Rugilah seseorang itu, walaupun telah diberi kesempatan hidup bersama kedua ibu dan bapanya atau salah seorang mereka ketika mereka tua namun kedua orang tuanya tidak memasukkannya ke dalam syurga(disebabkan dia mencuaikan mereka di dunia)”

2 Apa kata mereka?:

dR caRdiotHoracIC said...

tak termakan bubur n serunding bersama kamu2. hek :)
ibu adalah anugerah allah terbaik. :)

sang pencinta ilmu(^_^) said...

Hanya padaNya kami sandarkan harapan supaya Dia terus memelihara dan melindungi ibu kita semua...:)

Post a Comment