Tuesday, November 30, 2010

Ini Untuk MAMA!


Bismillahirrahmanirrahim..

Alhamdulilah,setelah sekian lama menyepi dari dunia blog,akhirnya Allah mengizinkan saya untuk sekali lagi mencoret sedikit sebanyak di blog yang serba ringkas ini.

Cuti dua bulan sudah berlalu.Malaysia telah jauh kutinggalkan.'
Entry' kali ini lebih menjurus kepada 'layanan perasaan' saya.Maaf andai anda tak terhibur dengan 'post' kali ini.

**************************************************************************************

*Untuk lebih menghayati ‘entry’ kali ini,sila dengar lagu ‘Jasa Bonda' sambil membaca.



“Aku pergi dulu ye!”kata Rara,rakan serumahku.Jam baru menunjukkan pukul 7.50 pagi.Hari ini merupakan hari ketiga bagi semester ketiga yang baru bermula kelmarin.Walaupun kami serumah,tetapi jadual kuliahku tidak sama dengan Rara,Nana,Kaka dan Yuyu.

Aku sendirian lagi di bilik.Mujur kuliah Nana dan Kaka bermula pada pukul 10 pagi.Kalau tidak,pasti aku keresahan dek ditinggalkan berseorangan di rumah.Bukan di Malaysia tapi di Mesir.Negara yang aku jejaki ini bukan sebarangan tempat.Malah negara ini menyimpan beribu memori tentang Nabi Musa dan Firaun si durjana itu.

Tanganku pantas sahaja mencapai tetikus komputer ribaku lantas mengklik ‘folder’muzik.Kemudian nota untuk petang nanti kuselak sekadar untuk mendapatkan gambaran pelajaran pada hari ini.Sejak di bangku sekolah lagi aku memang selalu membaca nota sambil mendengar lagu seolah-olah telah menjadi hobi .Seketika selepas itu,lagu ‘Jasa Bonda’ kedengaran.Nota yang kupegang diletak di atas katil.Aku menghayati lagu yang syahdu ini.

Kau dibuai mimpi,dia jaga

Kau bersenang,dia bekerja

“Ma,Along tak boleh tidur malam tadi.Tak nyenyak langsung.Teruk betul demam kali ni”aku mengadu.

“Mana ada.Awak ada jugak tidur walaupun sekejap.Mama tak tidur langsung tengok-tengokkan awak,”jawab ibuku.

Kasihan Mama.Semoga Allah sentiasa melindunginya.

Untukmu tiada terbatas

Memberi,tak minta dibalas

Ingin dibinanya untukmu

Kehidupan yang sempurna

Punya kekuatan jiwa

Punyai maruah

Ma,Along rasa Mama tak payah la hantar Along pergi tuisyen.Along belajar dekat rumah je.Jimat sikit duit,”cadangku pada Mama denga

n niat untuk mengurangkan beban Mama dan Abahku.Tambahan pula,kami bukan datang dari golongan kaya.

“Awak belajar je,Long.Jangan

fikir pasal duit.Itu tugas Abah dan Mama.Kerja awak,belajar je,”jawab Mama selamba.

Leterannya dari rasa luhur

Menegur sebelum terlanjur

Itulah yang diwarisi

Pesan ibu terpahat di hati

Beringat-ingatlah,berpesan-pesan untuk kebaikan

Marah bukan kebencian tapi tanda sayang

“Janganlah garang sangat dengan adik tu Long.Dia kecik lagi,”tegur Mama.

“Ma,budak-budak ni dah melampau sangat.Kalau biar je,nanti makin melampau.Dia ambik Along punya barang.Hish,geram betul lah!”dengusku.

“Adik awak ni nanti la yang tolong awak nanti,”balas Mama.

Kata-kata Mama betul.Sekarang adikku itu yang selalu membantuku walaupun baru berusia 8 tahun.

Engkau semakin dewasa berjiwa merdeka

sedangkan dia semakin tua membilang usia

Ma,Along nak keluar dengan Hana dekat KLCC,boleh?”tanyaku pada Mama,meminta izin.

Kalau dekat Subang je,tak boleh?Sunway Pyramid ke?”kata Mamaku memberi cadangan yang sebenarnya risau jika aku keluar dengan kawan-kawan ke tempat yang jauh dari rumah.

Di saat engkau berjaya dia tiada berdaya

Semoga engkau tak lupa jasa bonda

Pipiku terasa hangat kerana air mataku jatuh dengan rancaknya apabila terdengar baris akhir lagu ini.Fikiranku melayang teringatkan nenekku yang sakit strok.Perlu dijaga dengan baik kerana dia tidak lagi boleh berjalan seperti dahulu.Ada sesuatu yang bermain-main di fikiranku.Sanggupkah aku menjaga Mama dan Abah jika keadaan mereka menjadi seperti itu?

Lantas aku bertekad dalam hati,walau apa pun terjadi pada mereka,aku berdoa agar Allah sentiasa menguatkan semangatku dan menambah ketabahanku untuk terus menyayangi mereka dan menjaga mereka hingga ke akhir hayatku.

*************************************************************************************

Air mataku tidak putus-putus mengalir.Biar pun tidak sampai seminggu berpisah dengan keluarga dek tuntutan mencari ilmu di rantau orang,kerinduan yang ditanggung hanya Allah yang Maha Mengetahui.

Ya Allah,Tuhan yang Maha Mendengar doa hamba-hambaNya,peliharalah kedua-dua ibu bapaku,sayangilah mereka,berkatilah mereka dan janganlah Engkau mengambil mereka ketika aku jauh di perantauan kerana aku sangat menyayangi mereka.Dan sungguh aku tidak kuat untuk menghadapi perpisahan abadi dengan mereka ketika ini.Kurniakanlah mereka kebahagiaan di dunia dan akhirat.Ampunkanlah dosa-dosa mereka.Amin..

ALONG sayang MAMA & ABAH fillah abadan..

0 Apa kata mereka?:

Post a Comment