Friday, December 31, 2010

Bila Diri Disayangi..

Bismillahirrahmanirrahim...

Alhamdulilah,antara lafaz yang agung mampu dilafaz sebagai tanda kesyukuran seorang hamba kepada Sang Penciptanya.

Alhamdulilah,bukan sebarang kalimah,malah diucap oleh para penghuni syurga sejenak kaki menjejak 'jannatullah'.

Alhamdulilah,ringkas sebutannya,dihargai oleh Allah si penyebutnya.

***************************************************************************************

Peperiksaan akhir modul bakal menjelma kurang dari 48 jam lagi.Otakku seolah-olah tidak lagi mampu dipaksa untuk memamah ratusan perkataan yang tertera dalam buku modul Central Nervous System (CNS).

Lantas aku bangun dari tempat dudukku.Mundar-mandir sebentar di kawasan ruang tamu rumah sewaku.Mataku tertarik untuk melihat helaian kertas dari unit artikel Perubatan Cawangan Iskandariah (PCI) yang bertajuk 'HAYYA A'LA FALAH'.

Baris pertama telah habis kubaca.
"Ah,terlalu skema.Malaslah nak baca,"bisik hati kecilku.

Aku mengatur langkah namun aku terhenti seketika.
"Eh,alang-alang dah baca,biar habis.Bukan semua orang berpeluang nak baca.Mungkin yang Allah pilih je dapat baca,"monologku lagi.

Artikel yang panjang tadi telah habis kubaca.Antara kandungannya, para pelajar tidak sepatutnya menuntut ilmu semata-mata kerana peperiksaan malah perlu diniatkan kerana Allah dan untuk membangunkan umatNya.Selain itu,penulis ada menegur cara para pelajar melepaskan stres belajar dengan mendengar 'walk-man' dan menonton filem adalah kurang sesuai atas alasan ilmu itu suci dan memerlukan hati yang bersih untuk menerimanya.

Aduh,terkena lagi di batang hidung sendiri.Memang tidak dapat kunafikan bahawa aku sering mendengar 'walk-man' dan kadang kala diselang-seli pula dengan menonton filem untuk melepaskan stres dek kepenatan belajar seharian.Namun,kurasakan caraku ini perlu diperbaiki lagi.

Langkahku diatur semula ke arah komputer ribaku.Laman web 'Youtube' kubuka.Jari-jemariku pantas menaip satu judul nasyid di bahagian 'carian'.Tidak lama kemudian,kedengaran lagu nasyid kegemaranku didendangkan.Selesai lagu itu dimainkan,aku membelek-belek lagi video-video yang berkaitan.Mana tahu ada nasyid yang kuberkenan di hati.

Akhirnya,aku tertarik dengan sebuah video yang berjudul 'TOGETHER TO JANNAH' lantas kumainkan.Sebaliknya,bukan nasyid yang terkandung di dalam video itu.Tetapi cuma sebuah rancangan motivasi kerohanian.

Tanganku pantas sahaja mahu menukar video tersebut dengan video nasyid yang lain.
Tiba-tiba,mataku terlihat sebuah komen bahawa seorang gadis baru sahaja memeluk Islam setelah melihat video tersebut.

Niatku untuk menukar video itu terus terbantut.
"Pasti pengisian video sangat hebat,kalau tidak masakan ada orang yang tersentuh lalu memeluk Islam,"hati kecilku berbicara lagi.
Aku mula menonton video tersebut dengan penuh khusyuk.
Usai menonton,aku terpana seketika.Sungguh hebat manusia yang berbicara dalam video ini.Mulianya usahanya sehingga kata-katanya menjadi pemangkin semangat orang kafir untuk memeluk Islam.Sungguh berhikmah lagi meyakinkan.

Aku bermuhasabah seketika.

Ya Allah,di saat-saat jiwaku terasa kosong,Allah sentiasa mengurniakan hidayahNya dengan jalan yang tidak disangka-sangka.
Mula-mula,Allah temukan daku dengan artikel PCI di saat aku kebosanan akibat belajar.
Seterusnya,Allah menemukan pula aku dengan video yang sangat hebat itu.
Sungguh aku merasakan diri ini amat disayangi olehNya.
Seolah-olah,Allah tidak membenarkan hatiku sunyi tanpa hidayahNya.
Segala puji Allah yang menyelamatkan aku dari jalan sia-sia.
Indahnya perasaan bila diri disayangi.
Lebih-lebih lagi disayangi oleh Sang Pencipta.
Terima kasih,Allah atas kasih sayangMu!





Wednesday, December 22, 2010

Nilai Cinta Buatmu..(TLoA)



Raudhah masih mundar-mandir di bahagian coklat dan makanan ringan.Hatinya berbelah bagi.Kalau diikutkan hati mati,kalau diikutkan rasa binasa.Tangannya sudah menggenggam beberapa batang coklat Kit Kat buatan syarikat Nestle. Memang coklat itulah yang menjadi kegemarannya sejak di bangku sekolah lagi.Tetapi kegemarannya itu seolah-olah dihalang sesuatu.Sesuatu yang tidak mungkin dia ketepikan kepentingannya.

Ruang dewan kuliah sudah dipenuhi oleh kira-kira 150 orang pelajar.Nampaknya semua pelajar sudah bersedia untuk meneruskan langkah berjihad menimba ilmu yang diredhaiNya.Dalam keramaian itu,seorang pelajar lelaki yang berpakaian kemas ala-ala tentera ke ruang hadapan dewan. Muhammad Al-Fateh namanya .Selalunya sebelum kuliah bermula,slot tazkirah akan dijalankan oleh pelajar yang terpilih.Dia mencapai mikrofon lalu berkata,

“Assalamualaikum semua!

Syukur pada Allah kita masih di bawah rahmat dan nikmatNya yang tidak terhingga.Pada hari ini saya ditaklifkan untuk menayangkan sebuah video yang amat mutakhir dan perlu diambil peduli oleh kita semua sebagai umat Islam.Diharap kalian semua dapat menghayati video ini bukan sekadar melihat menggunakan mata tetapi menggunakan mata hati yang Allah telah dikurniakan pada kita.InsyaAllah video ini akan membuat isu yang bakal saya pertengahkan terkesan di hati anda.”

Layar putih di hadapan mula mendapat perhatian beratus pasang mata.Video bertajuk “Air Mata Palestin” ditayangkan selama lebih kurang 5 minit tetapi sudah cukup untuk membuat seluruh warga dewan terdiam bermuhasabah sendiri.Kelihatan sebahagian besar pelajar perempuan sudah tersedu-sedan menahan sebak akibat terlalu kasihan akan nasib rakyat Palestin yang diperlakukan kejam oleh si durjana tentera Israel.

Namun begitu,Muhammad al-Fateh dengan pantas menarik semula perhatian rakan-rakan seperjuangannya.

“Alhamdulilah,video ini sedikit sebanyak dapat mengingatkan kita pada nasib saudara-saudara seagama kita masih dalam keadaan genting,ketakutan,kesedihan dan kelaparan.Walaupun video seumpama ini sudah berulang kali dipertontonkan kepada anda,saya hanya ingin mengajak kalian untuk bersama-sama membantu mereka.Kita tidak perlu mengangkat senjata.Kita hanya perlu semangat yang kuat untuk membantu mereka selain doa yang berterusan kepada Allah.

Persolannya,mahukah kalian bersama-sama saya membantu mereka?”tanya Muhammad Al-Fateh penuh semangat.

“Nak!”

Bergema dewan kuliah dek jawapan para pelajar yang penuh bersemangat waja.Bahang semangat jihad itu seakan-akan semakin menjadi-jadi.

“Jika begitu,berjanjilah pada diri sendiri untuk tidak membeli barangan Israel lagi.Boikot produk mereka!

Walaupun usaha kita nampak sedikit,tetapi umat Islam sangat ramai.Sekiranya kita mampu mengajak umat Islam di sekeliling kita memboikot mereka,saya yakin Israel pasti menghadapi masalah kerana umat Islam bergabung untuk menghancurkan mereka walaupun dari aspek ekonomi sahaja.”

“Mampukah anda?”soalnya buat sekian kalinya.

“Ya!”

Kali ini suara yang kedengaran tidak sekuat tadi.Hanya separuh bilangan pelajar sahaja yang masih bersemangat.Selebihnya hanya tunduk mendiamkan diri.

“Masih tidak mampu?

Tidak mengapa.

Tetapi saya cuma mahu anda cuba bayangkan.

Sewaktu anda sedang enak menikmati hidangan atau pun makanan produk Israel,seorang rakyat Palestin jatuh tersungkur terkena bedilan peluru si jahanam tentera Israel.Dan jangan pula anda tidak tahu,sebutir peluru itu dibeli oleh Israel hasil belian anda terhadap produk mereka yang sedang anda nikmati itu.

Maka,saya ingin membuat kesimpulan yang mudah difahami.

Apabila kita membeli barangan Israel seolah-olah kita menyumbang dana untuk membunuh saudara seagama kita di Palestin.

Secara tidak langsung, kita dianggap bersubahat menghancurkan rakyat Palestin yang tidak berdosa itu.Mahukah kita dituduh sedemikian rupa?

Sudahlah tidak mampu mengangkat senjata untuk membantu mereka,kita beli pula produk Israel,si durjana yang menganiayai mereka.

Allah mengurniakan mata untuk menilai,telinga untuk mendengar kebenaran dan akal untuk berfikir.

Justeru,kuatkan semangat anda.Berkorbanlah sedikit demi kebaikan!

Kita boikot produk Israel!InsyaAllah!”kata Muhammad Al-Fateh mengakhiri ucapannya.

Para pendengarnya yang sejak tadi khusyuk mendengar,mendapat semula kekuatan.

“Raudhah!Dekat sini kau rupanya.Kenapa lama sangat dekat sini?”tanya Jannah,rakan serumah Raudhah.

“Aku serba salah ni. Aku teringat video yang Muhammmad Al-Fateh tayang tu .Kau pun tahu aku memang suka sangat makan coklat Kit Kat.Tapi ini produk Nestle,produk Israel.Kena boikot.Tapi aku dah lama tak makan.Teringin sangat.Boleh tak aku beli?Sekali ni je,”soal Raudhah dalam nada merayu.

“Raudhah,boikot itu tak wajib.Tapi aku nasihatkan kau,kalau boleh tak payah beli.Banyak lagi coklat yang sedap.Kita kena kuat,Raudhah!Umat Islam dulu berjihad mengangkat senjata,memerah keringat melawan kufur.Kita hanya perlu kuat semangat boikot barangan Israel.Pengorbanan kita sikit kalau nak dibandingkan dengan umat isalm yang terdahulu.Lagi pun,banyak lagi alternatif lain,”pujuk Jannah penuh hikmah.

Terdiam seketika.

“Ha,cuba tengok tu!Coklat Mandolin ni pun sedap jugak.Harganya pun murah,”cadang Jannah sambil menarik lengan Raudhah ke arah coklat yang dimaksudkan.

Tiba-tiba kerut Raudhah hilang digantikan pula dengan senyumannya yang manis.

“Eh,yelah.Aku lupa coklat Mandolin ni pun sedap jugak.Kalau aku beli sekotak boleh?”.Pendapat Jannah dipinta lagi.Kali ini dalam nada gurauan.

“Hidup ini kena bersederhana,Cik Raudhah,” ringkas sahaja jawapan Jannah.

“Baiklah,Cik Jannah.Mulai hari ini,aku berjanji pada diri sendiri,aku akan korbankan segala keinginan aku terhadap produk kegemaran aku yang ada kaitan dengan produk Israel sebab aku teringat Nabi Muhammad pernah bersabda

Tidak beriman seorang daripada kamu sehingga dia mengasihi saudaranya seperti mana dia mengasihi dirinya sendiri.

Maka,aku sebagai orang yang mengaku beriman kena sayang saudara seagama aku nun jauh di Palestin tu seperti aku sayangkan diri sendiri.Apa salahnya aku berkorban sikit untuk kebaikan yang banyak.Betul tak?”Bersemangat Raudhah berhujah.

“Alhamdulilah,semoga Allah memberkati pengorbananmu Raudhah”doa Jannah dalam hati.

Terpancar sinar kegembiraan di wajah mereka berdua.

Rasullullah S.A.W. pernah bersabda:
"Sesungguhnya dalam kalangan hamba Allah,ada manusia yg bukan para nabi dan bukan pula para syuhada,tetapi para nabi dan syuhada cemburu kpd mereka di Hari Kiamat kerana kedudukan mereka di sisi Allah.


Para sahabat bertanya,
“Wahai Rasulallah,beritahulah kpd kami siapakah mereka itu?”

Rasulallah pun menjawab,
“Merekalah kumpulan manusia yg saling berkasih sayang kerana Allah bukan kerana hubungan keluarga dan bukan pula kerana harta yang saling mereka berikan.Demi Allah,sesungguhnya muka mereka bercahaya dan mereka berada di atas cahaya.Mereka tidak takut apabila manusia berasa takut dan mereka tidak berdukacita apabila manusia lain berdukacita.”

Thursday, December 2, 2010

Biar Aku Terus Melangkah...(TLoA)


Bismillahirrahmanirrahim...

Alhamdulilah,udara yang kita hirup pada hari ini masih lagi percuma.Nyawa belum terpisah dari jasad.Nikmat melihat masih dikurniakan.Maka terzahirlah tulisan ini.Syukur padaMu,ya Allah.

Masa sungguh cepat berlalu.Pepatah arab ada berbunyi 'al-waqtu kassaif,illlam taqtahu,qata'aka' yang bermaksud masa ibarat pedang.Jika engkau tidak memotongnya,engkau yang akan dipotong.

Peperiksaan makin hampir.Mujur tugas menulis artikel datang pada waktu yang agak sesuai.

*************************************************************************************
Iz:Arghhhh....Tension nyer...

Wan:Sabar!Setiap perkara yang Allah jadikan mesti ada hikmahnya.
Pasti ada jalan keluarnya.Yakinlah!

Iz:Mana aku tak tension.Belajar CNS dahlah susah...Kene pergi program BOOM la,pergi meeting lagi,'assignment lagi'..Aduh,exam pulak nak dekat...

Wan:Cuba ingat balik kenapa kita datang sini..

Iz:Aku tahu.Kita datang sini untuk menuntut ilmu.Tapi kadang-kadang aku rasa rimas sangat.Banyak sangat komitmen.Tak cukup tangan rasanya..Pernah jugak rasa nak berhenti buat semua ni..Tension,tension..Tak larat dah..

Wan:Sabar..Orang yang beriman macam kitalah beruntung.Bila diberi nikmat dia bersyukur,bila ditimpa kesusahan dia bersabar.Beruntung kan kita ni?

Iz:Memanglah.Tapi aku rasa tension sangat bila ada banyak sangat komitmen dalam satu masa.Aku pun tak tahu.Mungkin semangat aku dah hilang.Semangat nak belajar,semangat nak teruskan perjuangan ni..

Wan:Ok.Cuba ingat balik kenapa kau ambil bidang medik?Untuk suka-suka atau bertujuan untuk mencari gaji yang lumayan kelak?

Iz:Sebenarnya,aku ambil bidang medik sebab aku gembira bila tengok mak ayah aku bangga melihat aku bergelar pelajar medik.Wajah mereka berseri-seri bila aku ditawarkan untuk belajar medik.Aku cuma nak mereka bahagia.Sebab aku tahu aku tak mampu balas jasa-jasa mereka.

Wan:Tak salah kalau kau ambil bidang ni untuk menggembirakan mak dan ayah kau.Tambahan pula,keredhaan Allah terletak pada redha ibu bapa.
Tapi kau harus ingat,bidang medik yang kita ceburi bukan sembarangan bidang.Bidang ini sangat kritikal.Menuntut kesabaran yang sangat tinggi serta pengorbanan yang besar.Kau kena kuat!Dan kekuatan itu datang bila Allah izinkan.Mintalah kekuatan daripadaNya.

Iz:Itulah yang aku runsingkan.Setiap kali aku kuatkan diri,satu per satu ujian datang sehingga aku rasa ingin rebah begitu sahaja.Enam tahun harus aku pertaruhkan di sini,tak termasuk lagi tempoh latihan.Aku lemah!

Wan:Tidak!Kau tidak lemah.Kau lupa bahawa muslim yang kuat lebih disukai daripada muslim lemah?

Iz:Ya!Aku masih ingat.Berulang kali aku berusaha menjadi kuat.Kadang-kadang aku berjaya,kadang-kadang aku tewas sendirian.

Wan:Kau tidak pernah bersendirian.Allah lagi dekat dari urat nadi leher kita.Allah sentiasa ada bersamamu.

Iz:Aku manusia biasa.Selalu alpa.Aku kejam pada diri sendiri.Aku paksa diri sendiri untuk menggembirakan orang lain.

Wan:Lupa itu memang lumrah manusia.Sebab itu kita kena selalu kembali bertaubat kepada Allah.
Dan perbuatan kau itu tidak salah jika berniat untuk menggembirakan hati orang lain.
Tapi kau harus ingat!Apa-apa pun perbuatan kita mesti diniatkan kerana Allah.InsyaAllah,redha Allah pun kau dapat,hati manusia pun dapat kau gembirakan.Mungkin sedikit lelah,namun Allah akan balas juga perbuatan baikmu itu.

Iz:Mungkin aku perlu selalu perbaharui niat.Cuma ujian yang datang menimpaku,kadang- kadang tidak tertanggung rasanya.

Wan:Kita datang dari jauh ke sini semata-mata untuk menuntut ilmu.Jihad tu..
Ingatlah,kalau kita berkorban di jalan Allah,Allah akan bantu kita.Yakinlah!
Sebesar mana pun ujian yang datang,ingat pada Allah kerana Allah tidak pernah lupa kepada hambaNya yang mengingatiNya....

Iz:InsyaAllah.Aku akan ingat itu.Semoga Allah akan selalu membantuku keluar dari kebingungan yang kuhadapi.Cuma sekarang aku masih stress bila terkenangkan bebanan kerjaku yang makin bertambah.entah bila nak berkurangan..

Wan:Jangan begitu.Sebenarnya,kerja-kerja kau itu umpama benang yang berselirat.Kusut.Lagi kuat kau tarik,lagi kuat ia tersimpul.Cuba kau bertenang.Cari yang mana hujung dan pangkal benang tu.Uraikan perlahan- lahan.Kalau tak mampu,minta bantuan kepada yang lebih mengetahui.InsyaAllah,pasti berjaya.

Macam dalam kes kau,kerja-kerja kau tu memang banyak.Tapi,kau selesaikan yang paling penting dan perlu disiapkan segera dahulu.Lepas tu,baru kau selesaikan kerja yang lain- lain.Pasti boleh.Yang penting kau kena berfikiran positif sebab dalam Al-quran pun ada tertulis "Inna ma'al u'sri yusra" yang bermaksud setiap kesusahan ada kesenangan.

Iz:Alhamdulilah,aku terasa semangat kembali.Semoga Allah sentiasa memegang hatiku dan terus memberi kekuatan kepadaku.

Wan:Baguslah begitu.Perjuangan kita sebagai seorang muslim tidak akan pernah selesai selagi kaki tidak melangkah ke dalam syurga.

Puas bermonolog dan bermuhasabah sendirian,Izwan memusingkan badannya ke sebelah kanan sambil mencapai bantal peluknya.Lantas dia membaca surah Al-ikhlas,berselawat,beristighfar dan bertasbih.Sunah Nabi Muhammad inilah yang selalu diamalkan olehnya sebelum dia tidur."Ya Allah,berikan aku kekuatan untuk terus menghadapi hari-hari yang mendatang.Amin,"pintanya dalam hati.Mata dipejamkan.

Begitulah sepatutnya umat Islam harus lakukan.Pabila ditimpa musibah atau hati terasa resah dan gelisah,bermuhasabahlah.Mungkin ada sesuatu kekhilafan kita yang menyebabkan kita jadi begitu.Sekian,wassalam.