Thursday, October 29, 2009

Mereka nak bunuh kami?


Bismillahirrahmanirrahim ..

Syukur pada Allah masih memberi peluang menghirup nafas di dunia ini.Walaupun diri ini bukan 'maksum' dan sentiasa melakukan kesalahan, Allah masih memberi sepasang mata dan telinga, hidung dan mulut tanpa menarik satu pun.Alhamdulilah ya Rabb ..


Mereka nak bunuh kami ..


Nyawa kami di sini ibarat telur di hujung tanduk.Setiap kali keluar, kami pasti akan hampir dilanggar oleh kereta kerana sikap memandu mereka yang sangat dahsyat.Hendak melintas pun seolah-olah hendak membunuh diri kerana terpaksa melintas di jalan raya yang sibuk yang mana kereta-kereta bergerak dengan sangat laju.


Mula-mula kami tidak berani melintas kecuali dengan jumlah pejalan kaki yang ramai.Alah bisa tegal biasa.Lama-lama kami sudah membiasakan diri dengan cara melintas jalan raya di sini.


Meskipun sudah biasa,saya masih rasa sakit hati dengan pemandu-pemandu yang kadang-kadang tidak berperikemanusiaan.Misalnya kejadian petang tadi.Sedang saya hendak melintas di jalan yang agak lengang,tiba-tiba sahaja ada kereta bergerak yang melanggar saya.Kemudian si pemandu yang 'berhemah' memaki hamun saya dalam bahasanya sendiri sambil menunjukkan isyarat 'tak ada otak'.Sakitnya hati ini Allah sahaja tahu.Dia yang bergerak dengan sangat laju dan tidak 'alert',tiba-tiba pula memarahi saya.Kalau benar saya yang salah,dia pasti mengehon keretanya dari jauh seperti kebiasaan yang selalu dibuat oleh pemanadu-pemandu di sini. Tapi tidak.Dia hanya memarahi saya apabila hampir terlanggar.Sememangnya pak arab ini sungguh mencabar tahap kesabaran saya. Mereka nak bunuh kami ke?Sabarlah duhai hati..

Saat genting!


Semalam kami 'berhempas-pulas' membaca modul 1 untuk semester 1 kerana hari ini 'exam' akan diadakan pada hari ini.Walaupun begitu,kami tidaklah terlalu fokus kerana adanya 'internet'. Jadi godaan untuk 'online' itu sangatlah besar.Hanya iman dan tekad sahaja yang boleh menahan kami daripada 'online'.


Ada juga yang sibuk mencuba-cuba skill memasak untuk hilangkan 'stress' belajar.Nikmat juga dapat makan nasi setelah sekian lama tidak menikmati makanan Malaysia lagi-lagi hasil air tangan sendiri.Memang puas hati .. Alhamdulilah.


Itu kisah semalam.Hari ini setelah habis sahaja 'exam', semua mula memanjangkan langkah.Ada yang hendak ke pantai tak kurang juga hendak 'window shopping'. Semuanya gara-gara hendak 'release tension' selepas 'exam'.


Malam ini pula, 'pesta tengok video' mula berlangsung.Ada juga yang tak habis-habis melayan 'ym', 'fb'dan video korea.Saat inilah yang dikatakan saat genting.Saat ini sebenarnya Allah sedang menguji kami dengan pelbagai bentuk kesenangan. Hakikatnya, apabila hanyut dengan limpahan nikmat, manusia sering lupa pada Allah pada hal mereka di dalam lingkungan nikmatNya.MasyaAllah.Sungguh manusia ini pelupa akan penciptaNya tidak kurang juga saya hambaNya yang lemah ini.


Kehidupan di alam universiti ini sangat 'fragile'. Jika diri tidak dibajai dengan tazkirah serta ibadah yang mendekatkan kita pada Allah, maka senanglah untuk kita hanyut dari landasan yang sebenarnya.Iman makin menurun apabila terlalu banyak membuat perkara 'lagho'. Sungguh saya risau dengan keadaan ini sebenarnya.Bimbang iman senipis kulit bawang ini bakal lenyap dengan cara hidup yang mementingkan duniawi serta meremehkan ukhrawi.


Ya Allah, sungguh hambaMu ini rindu akan suasana di sekolah berasrama dulu.Walaupun setiap masa ada sahaja aktiviti yang diaturkan untuk kami, tapi kami diatur untuk menjadi lebih berdisiplin dan sistematik dalam urusan diri dan akademik.Apabila memasuki fasa baru iaitu fasa selepas sekolah menengah, kebebasan yang diberi sewajarnya dipenuhi dengan aktiviti yang berfaedah.Bagi kami yang berada di luar negara, mak dan ayah jauh di Malaysia.Tiada siapa pun yang akan memarahi jika kami berbuat sesuatu yang salah.


Namun, Allah sentiasa berada di mana-mana dan maha melihat.Sebagai orang yang beriman dan bertaqwa, saya menasihati diri saya dan rakan-rakan sekalian untuk sama-sama menyedari matlamat dan tujuan kita ke sini adalah untuk belajar dan sentiasa memperbaharui niat untuk mencapai keredhaan Allah semata-mata.

"Ya Allah, peliharalah kami dari terus lalai dari mengingatiMu saat kami dalam kesenangan mahupun dalam kesusahan.Kami takut seandainya kami mati tanpa mengingatiMu, kami takut sekiranya kami mati sebelum sempat kami bertaubat.Maka Engkau kurniakanlah kekuatan, ketaqwaan, hidayah dan petunjuk kepada kami agar kami akan kekal menjadi muslim yang soleh di sisiMu.Amin .."

Segala yang baik datang dari Allah dan segala yang buruk datangnya dari saya hakikatnya kedua-duanya datang dari Allah disandarkan pada saya hambaNya yang lemah ini.Sekian,wallahualam.Wassalam.











Tuesday, October 27, 2009

Untuk tatapan semua..
























































Assalamualaikum.
Ini ada sebahagian gambar yang saya perolehi dari kawan-kawan kerana kamera saya ada sedikit kerosakan.Apa-apa pun,selamat melihat-lihat foto kami..

Monday, October 26, 2009

Akhirnya bumi ini dilimpahi berkatNya jua..


Bismillahirrahmanirrahim..

Alhamdulilah,setelah hampir sebulan di bumi kinanah ini,kami berpeluang merasai suasana ketika hujan di Mesir..


Jarang-jarang hujan..

Mesir memang jarang hujan.Pagi semalam setelah beberapa minit azan subuh berkumandang,bumi Mesir ditimpa hujan lebat.Sungguh tenang suasana hening pagi ini.Terasa seolah-olah Allah sedang memberikan rahmatNya kepada tanah yang sudah lama tidak berhujan.Sememangnya di Malaysia,hujan adalah perkara biasa.Tetapi,hujan di Mesir sangat jarang dan dianggap rahmat yang besar.Syukur pada Allah kerana telah memberikan sebahagian dari nikmatNya.


Membina nilai sabar..

Hari demi hari,kami mula sukakan bumi Mesir ini.Terlalu banyak baik dan buruknya.Yang baiknya apabila berjumpa orang arab yang sangat peramah.


Sebagai contoh,Jumaat lepas saya diajak oleh senior tahun dua untuk ke jamuan anjuran ustazahnya(orang arab).Muda lagi orangnya,baru 22 tahun.Pada pertemuan pertama itu,kami disambut penuh meriah.Mula-mula dia berjabat tangan lalu dipeluknya kami seerat-eratnya.Kemudian,dicium pula pipi kami berkali-kali.Mungkin situasi ini nampak pelik di Malaysia.Tapi di Mesir,beginilah orang arab meraikan ukhuwah mereka.Tidak cukup dengan itu,ustazah itu memegang tanganku bagai tidak mahu berenggang.Naik hairan juga kami dibuatnya.


Itu contoh orang arab yang baik.Ahad lepas kami ke Carrefour pula.Jalan-jalan timba pengalaman di samping meluaskan pemandangan.Semasa hendak pergi ke sana lagi kesabaran kami sudah teruji.Tambang teksi yang selalunya 5 L.E dinaikkan sehingga 10L.E.Akhirnya,tanpa pilihan kami terpaksa mengikut permintaan harga pemandu teksi tersebut.Setelah sesi tawar-menawar barulah kami dapat kadar 8L.E.Sakitnya hati ini biarlah Allah yang tahu.Semasa hendak balik pun kami ditipu lagi denagn pemandu teksi.Mula-mula dia setuju hendak ambil tambang sebanyak 9L.E yang kami rasakan sangat mahal.Tiba-tiba setelah sampai ke asrama MARA,dia meminta 10 L.E.Geram sungguh.Katanya jalan ke mari sangat komplikated.Cakap tak serupa bikin betul pak cik itu(sebenarnya muda lagi).Sabar sahajalah.Kami berazam hendak menguasai bahasa arab ammiah.Senang untuk kami 'bergaduh' dengan orang arab nanti.


Kes di kedai makan memang benar-benar menguji kesabaran kami.Mentang-mentang kami orang asing di negara ini,mereka seolah-olah mengabaikan kewujudan kami.Bayangkan kami terpaksa menunggu lama di kaunter untuk menempah makanan kerana si 'cashier' sibuk melayan orang arab yang lain yang datang untuk membeli makanan.Pada hal kami telah lama berada di situ.Sepertinya kami ini halimunan.Tidak dipedulikan langsung.Ikutkan hati hendak sahaja ke kedai lain,tapi pilihan tidak banyak tambahan pula kami sudah penat kerana baru pulang dari kuliah.


Allah benar-benar mahu menguji tahap kesabaran hamba-hambaNya di sini.Alhamdulilah,sekurang-kurangnya kami dapat meningkatkan keimanan apabila bersabar.Sebab itulah menjadi orang beriman sangat beruntung.


'Apabila mereka diberi nikmat,mereka bersyukur.Apabila mereka ditimpa musibah,mereka bersabar'


Berbaloikan jadi orang beriman?(^_^)Memang berbaloi-baloi..Alhamdulilah..







Friday, October 23, 2009

Sudah bijakkah kita atau masih di takuk jahil?

Mari sama-sama kita muhasabah diri..Orang yang bijak adalah orang yang mengingati MATI dan berusaha bersedia ke arahnya..InsyaAllah..

Semoga kita dapat bertaubat sebelum nafas terhenti...Amin..

Thursday, October 22, 2009

Ujian dan dugaan mula menjengah..











Bismillahirrahmaanirrahim..
Alhamdulilah,hari ini Allah masih memberikan saya dan rakan-rakan bernafas sebagai hambaNya di bumi Mesir ini untuk meneruskan perjuangan sebagai pelajar perubatan.Syukur juga kami panjatkan padaNya kerana terpilih diberi jutaan nikmat kepada kami dari jutaan manusia yang ada di dunia ini.

Belajar tanpa buku..
Minggu ini sudah memasuki minggu kedua kami menuntut di Universiti Iskandariah sebagai pelajar perubatan.Subjek nampak ringan pada fasa permulaan ini.Realitinya,subjek untuk modul pertama ini memerlukan perhatian dan pemahaman kalau pun bukan untuk diri sendiri tetapi untuk peperiksaan yang bakal menjelma seminggu lagi.Kami sendiri terkejut bila dikhabarkan akan menduduki peperiksaan dalam masa terdekat.Antara subjek modul 1 ialah Medical History,Statistic,Medical Terminology,Ethics dan E-learning.
Malangnya,buku untuk modul pertama masih belum boleh diedarkan kerana masalah teknikal.Kami terpaksa belajar menggunanakan website universiti dan menyalin 'lecture notes' secepat mungkin ketika kelas.Memang sukar.Bayangkan pelajar perubatan belajar tanpa buku.Sungguh merunsingkan.Tulisan pun seperti cakar ayam kerana menyalin nota yang banyak kecuali pada insan-insan yang mempunyai tulisan yang kemas.

Senaman hari-hari..

Hari-hari kami terpaksa berjalan kaki untuk ke kuliah.Perjalanan biasanya mengambil masa 15 minit.Selalunya kami akan berjalan dengan sangat laju seperti orang Jepun lagaknya kerana sering kelewatan bersiap dari asrama.Penatnya usah ditanya.Hanya orang yang mengalaminya akan memahaminya.Mungkin masih belum dapat menyesuaikan hidup di sini dengan jadual kuliah yang sangat meletihkan.Kadang-kadang kami terpaksa ke kuliah sebelum pukul 8 pagi dan kuliah berakhir pada pukul 4 petang.
Kebanyakan dari kami risau berat badan akan bertambah apabila tiba di Mesir kerana hari-hari kami makan makanan arab yang berunsurkan karbohidrat dan protein yang sangat tinggi seperti roti,daging,kentang goreng,falafel,macaroni,roti dan roti lagi..Tapi apabila memikirkan kami terpaksa berulang alik dari asrama ke universiti yang jauh jaraknya,pasti lemak pun tidak sempat berkumpul kerana semua tenaga habis digunakan.Semuanya andaian kami semata-mata.

Antara Nabi Musa dan Firaun..
Sebelum kami berpijak di bumi Mesir ini,kami sering diperdengarkan "Mesir itu tempat nabi Musa dan Firaun.Orang-orang di sana pun begitu juga.Kamu pilihlah jalan hidup kamu sama ada nak jadi Firaun atau nabi Musa".

Apabila sampai di sini,perkara itu sangat jelas.Selalunya kami akan jumpa orang arab yang banyak karenahnya.Kadang-kadang kami terjumpa orang arab yang sangat baik dan peramah.Biarpun begitu, kami sangat berhati-hati dan memegang prinsip 'jangan percayakan arab'.Semalam kami berjalan-jalan di Mansiyah.Sesudah penat berjalan tekak pun mula haus.Kami singgah di kedai minuman.Di sana seorang pak cik arab melayan kami dengan sangat ramah dan memberi peluang kami merasa jus khurub.Sampai hari ini saya tidak tahu apa namanya di dalam bahasa Melayu.Jus itu sungguh sedap dan segar.

Di kedai yang lain pula,kami dipuji sebagai 'ahsan nas' kerana berasal dari Malaysia.Ada dua perkataaan baru yang dapat kami pelajari di sana.Walaupun hanya dua perkataan,kami sangat bersyukur.Inilah yang dikatakan nikmat belajar di negara orang.

Pada hari ini,kami diuji dengan sikap orang arab yang bersikap sambil lewa.Bayangkan kami terpaksa menempuh jalan yang sangat jauh untuk ke kuliah kerana pintu jalan singkat belum dibuka oleh orang arab itu.Sudahnya kami kepenatan yang teramat sangat.Mujur pensyarah hari ini sangat bijak memberi huraian sehingga kami betul-betul faham.Alhamdulilah..
Namun begitu,semua ujian dan dugaan di sini kami anggap sebagai kafarah dosa bagi membersihkan hati kami untuk menuntut ilmu.Kami redha dengan ujianNya.Ini menandakan Allah masih mengingati kami dan mahu kami kembali mengingatinya kerana cintaNya kepada kami sangat tinggi.Alhamdulilah..

Esok hari Jumaat,satu-satunya cuti dalam seminggu bagi pelajar perubatan Universiti Iskandariah.InsyaAllah,esok saya dan rakan-rakan berniat hendak berjalan-jalan di sekitar bandar Iskandariah sekadar mengetahui selok-belok di sini bagi memudahkan kami pada masa akan datang.Sekian sahaja untuk hari ini.Segala yang baik datangnya dari Allah dan yang buruk datangnya dari saya hakikatnya kedua-duanya datang dari Allah disandarkan pada saya hambaNya yang lemah ini.Sekian,wassalam.















Tuesday, October 13, 2009

Pesan ayahandaku..


Alhamdulillah, TQ. That day, it was so quick that I didn't managed to say a few "last words" to you. Basically, I wish to say similar to what Luqman said to his son (surah Luqman) to continously remember & abide Allah and Rasul always. You're now a medical student, so be one. Make me and your mom proud! Do savor your new experience in Egypt, enjoy it, but always remember your reason being there. Till later, take care. We all love you. Wassalam

Sunday, October 11, 2009

Mesir,sebuah tamadun yang pernah dibanggakan..kini ibarat dipandang sepi.







Bismillahirrahmanirrahim..

Alhamdulilah,syukur kepada Allah kerana dengan izinNya dapat saya terus menulis di blog ini.Seterusnya,saya akan menyambung cerita dan pengalaman saya di Mesir untuk kita sama-sama ambil pedoman,InsyaAllah.

PERUBATAN memang 'best'..
Setibanya kami di Mesir kami disambut oleh senior-senior perubatan dalam Program Sambutan Mahasiswa Baru(PSMB) anjuran PERUBATAN.Sebenarnya PERUBATAN adalah singkatan kepada Persatuan Pelajar-pelajar Perubatan Malaysia Mesir.Objektif utama persatuan ini adalah kebajikan ahli dan kecemerlangan akademik.Sehubungan dengan itu,PERUBATAN juga menubuhkan Jabatan Keselamatan Sosial Islam(JAKSI) yang menekankan peri pentingnya konsep amar makruf nahi mungkar dalam kalangan kami.Pelbagai lagi kebaikan persatuan ini yang kami rasakan sangat bagus dan bermanfaat untuk semua ahli.Sesungguhnya inilah ciri-ciri persatuan yang aku idamkan sejak lama dulu.Alhamdulilah,Allah temukan kami di bumi barakah ini.
Kepada calon spm yang berminat menyambung pelajaran dalam perubatan,saya cadangkan Mesir sebagai destinasinya kerana terlalu banyak hikmah yang dapat kita singkap dan lihat melaui mata hati dan mata iman.Kemudian jangan lupa menjadi ahli PERUBATAN kerana ia ibarat ibu bapa yang menjaga kita di Mesir ini.

Keluargaku ada di Mesir..
Sampai sahaja kami di lapangan terbang Kaherah,kami dibawa ke Asrama Rumah Melayu Abasiyyah(ARMA),Kaherah.Di sana kami disambut oleh senior-senior dengan sangat meriah.Mereka bersalam dan memeluk kami seolah-olah keluarga sendiri.Sedikit sebanyak rindu pada keluarga terubat.
Terharu dengan sambutan itu.Mana tidaknya,sudahlah meninggalkan keluarga dan negara,kami sudah tidak punya sesiapa lagi melainkan kawan-kawan dan senior-senior di sini.Lima hari kami berada di ARMA,dijamu makanan melayu dan dilayan dengan penuh ramah.Ukuwah yang terjalin antara kami dan fasilitator yang juga merupakan senior kami dari bidang agama dan perubatan semakin erat seolah-olah telah berkenalan selama bertahun-tahun.

Ukuwah yang terbina sangat bermakna apabila kami disambut pula oleh penghuni rumah anak negeri.Memandangkan aku telah lama bermastautin di Selangor,maka aku pulang ke rumah anak negeri Selangor atau lebih dikenali sebagai Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir(BKASM).Di Iskandariah,PSMB juga sangat meriah.Kakak dan abang fasi tidak jemu membantu menguruskan hal kami yang baru tiba dari Kaherah.Ukhuwah makin kuat apabila kami berkunjung ke Dewan Perwakilan Mahasiswa Iskandariah(DPMI).Kakak-kakak yang belajar 'dirasat' menjamu kami makanan arab yang diubah suai mengikut citarasa melayu.Sungguh kreatif.Kami berkali-kali diajak ke DPMI lagi untuk mengeratkan silaturrahim.Alhamdulilah,'mahabbah' yang terbina 'fillah' ini sangat menyenangkan hati.Alhamdulilah,syukur..

Bangunan pakai sama uniform
Ustaz-ustazah di Kolej Shahputra pernah mengkhabarkan tentang bangunan di Mesir semuanya sama warna.Kali ini aku sendiri dapat melihat dengan mata kepalaku sendiri ianya memang realiti.Satu warna,warna kuning coklat.Terlalu sedikit bangunan yang berwarna lain.Orang kata,orang arab memang macam tu.Tapi dalam rumah,cantik.Tidak pula kutahu kesahihannya memandangkan aku sendiri tidak pernah berkunjung ke rumah orang arab.

Bosan sungguh pemandangan sebegini.Ibarat menatap kota yang tidak hidup.Rindu pada pemandangan di tanah air usah ditanya.Pokok-pokok hijau pula memang ada tapi sedikit dan banyak kelihatan di 'hadiqah' sahaja.Sekurang-kurangnya ada juga pokok.Kehidupan di Kaherah yang 'zahmah' ini kadang-kadang menakutkan.kalau sesat,jenuh la nak cari jalan pulang sebab bangunan sama warna dan bentuk.Tidak ada rumah banglo,teres dan sebagainya setakat ini pernah kulihat di Mesir.Semuanya duduk di rumah flat ala-ala filem 'Ayat-ayat Cinta'.Teringin juga hendak melihat rumah banglo di bumi yang penuh debu ini.

Kereta pakai bedak..
Cerita pasal debu,teringat pula aku pada kereta-kereta di sini.Sama ada kereta baru atau lama,semuanya berdebu.Sangat ketara.Ibarat pakai bedak berinci-inci.
Semasa dalam perjalanan ke Iskandariah,kami sempat melihat kereta-kereta baru dalam treler untuk dihantar ke 'showroom' dipenuhi debu seperti baru dihujani salji.Satu fenomena yang tidak mungkin kami lihat di Malaysia.

Roti oh roti,rezeki juga..
Hari ini baru genap dua hari kami tidak makan makanan melayu seperti hari orientasi tempoh hari.Kami asyik memakan makanan arab yang kebanyakannya berdasarkan roti.Di saat ini,kami sudah mula rindukan makanan melayu.Sungguh terasa rindu.
Namun begitu,alhamdulilah roti di sini dibuat dengan pelbagai jenis.Maka tidaklah kami terasa 'tension'.Antara roti yang ada di sini ialah 'syish tawook','syawirma','ish baladi','batatis' dan 'fatirah'.Tapi kami belum berkesempatan untuk makan ish baladi kerana ia dijual secara terdedah.Kadang-kadang dihurung lalat jalanan.Hilang pula selera kami hendak memakannya.

Rasanya sampai di sini dahulu cerita yang ingin saya kongsikan.Urat-urat tulang belakang dan leher sudah terasa lenguh kerana banyak menulis.Esok,kami harus memulakan hari baru dengan satu perkara yang tidak harus kami lupa iaitu amanah kami sebagai seorang pelajar perubatan Muslim Malaysia.Saya memohon doa kalian agar kami berjaya menjadi doktor muslim yang bertaqwa yang mampu berjasa pada agama,bangsa dan negara.Semoga kita semua berada dalam keberkatan dan cahaya petunjuk Allah di mana-mana dan untuk selamanya.Amin.Yang baik itu datangnya dari Allah dan yang buruk itu datangnya dari saya hakikatnya kedua-duanya datang dari Allah disandarkan pada saya hambaNya yang lemah ini.sekian.wassalam.

Saturday, October 10, 2009

Jauh perjalanan,luas pengalaman.bertambah pedoman..





















Bismillahhirrahmanirrahim.,
Alhamdulilah,setelah beberapa lama,akhirnya dapat juga saya siapkan
post saya yang pertama ini.Dalam post ini,saya ingin berkongsi pengalaman dengan para pembaca blog saya dengan harapan supaya kita sama-sama menyingkap iktibar serta pedoman yang dapat perolehi dari pandangan mata hati di samping mata kasar melalui pengalaman saya di bumi anbiyak ini..
Mesir,sebuah bumi kinanah..

Hijrahku bermula..

sabda Nabi Muhammad S.A.W
"sesiapa yang mengembara kerana untuk belajar sesuatu ilmu akan diampunkan dosa baginya sebelum dia melangkah"

Lebih kurang pkl 12.00 tengah malam di KLIA,1 Oktober 2009 pesawat EgyptAir perlahan-lahan bergerak meninggalkan tanah airku yang tercinta,bumi Malaysia.Kepalaku terjenguk-jenguk melihat pemandangan lampu-lampu di jalan-jalan dari cermin tingkap.Hati terasa sebak terpaksa meninggalkan tanah air,tempat tumpahnya darah apatah lagi terpaksa meninggalkan keluarga dan rakan-rakan yang sangat aku sayangi.Allah saja yang tahu bagaimana beratnya hati ingin meninggalkan segalanya yang ada di sini.Namun,mengingatkan hijrahku ini ialah jihad lillahita'ala,kukuatkan azam dan semangat.

Kini baru kusedar nilai sebuah hijrah yang pernah dilakukan oleh Nabi Muhammad S.A.W,betapa sedihnya hati baginda apabila terpaksa meninggalkan kampung halamannya,Mekah.Namun berkat harga sebuah pengorbanannya,syukur pada Allah Islam berkembang ke seluruh dunia sehingga ke hari ini.

Destinasi sudah pasti.Mesir,bumi yang pernah diduduki Nabi Musa dan juga Firaun merupakan destinasi kami pelajar-pelajar yang diberi peluang melanjutkan pelajaran dalam perubatan tajaan MARA.Perjalanan selama 12 jam meredah langit biru bukan semudah yang disangka.Apa tidaknya,seharian kami menguruskan barang untuk ke Mesir.Ditambah pula kami hanya duduk selama berjam-jam menambahkan keletihan.Belakang badan sudah terasa sengal-sengalnya.Sungguh tidak selesa.Perjalanan panjang ini membuatkan kami seolah-seolah sudah berhari-hari berada di pesawat ini.Tapi kami hiraukan saja keletihan ini dan berdoa agar cepat sampai dengan selamat.Walaupun begitu,kami teruja untuk menjejakkan kaki ke bumi Mesir.Hatiku berdoa supaya segala urusan kami dipermudahkan di sana nanti.Maklum sahaja kami sudah diceritakan pelbagai kisah buruk di Mesir ini.Tapi aku percaya,Allah akan sentiasa membantu orang-orang yang berjihad di jalanNya..InsyaAllah.

Kaherah destinasi pertama.

Pemandangan dari dalam pesawat telah memberi gambaran sedikit sebanyak realiti tentang bumi Mesir.Sebaik sahaja mendarat di lapangan terbang Kaherah,Mesir kami dapat melihat gurun dan beberapa kapal terbang yang seolah-olah telah diletupkan lama dulu.Mungkin kesan perang pada Oktober 1979 yang lalu.

Di lapangan terbang antarabangsa itu,kelihatan struktur bangunan nampak moden,sayangnya luasnya seperti lapangan terbang terminal 3,Subang.Memang KLIA lebih layak dikagumi kecanggihan dan kemodenan bangunan berbanding di Kaherah.Udara di sini dipenuhi partikel-partikel debu namun masih boleh dihirup untuk meneruskan kehidupan.

Kaherah..Sebuah bandar yang besar dan sesak dengan jumlah penduduknya lebih kurang 20 juta orang.Ketika kami sampai,kereta sudah memenuhi jalan-jalan raya.Hon berbunyi berkali-kali dari segenap penjuru.Bagi mereka,memandu sambil mengehon adalah perkara wajib.Pernah sekali saya menaiki sebuah teksi,pemandunya mengehon sesuka hati kerana hon berada di hujung jarinya.Kelajuan kereta di sini sangat laju biar pun kereta yang dipandu hanya kereta buruk.Jalan raya seperti tidak mempunyai peraturan.Pemandu mengehon dan mengundurkan kereta di lebuh raya adalah pemandangan biasa.Kalaulah diberi peluang memandu di sini,aku tidak akan menerima kerana hanya akan menekan jiwa menambah stress dan runsing di kepala.

Roller coaster Mesir..

Aku belum pun pernah menaiki roller coaster di sini.Tapi pengalamanku menaiki 'tramko' ibarat menaiki roller coaster.Kelajuan yang dibawa hampir mencecah 140km/hour.Sangat menakutkan tapi lama-lama terasa adventure pula.Tramko yang dipandu beberapa kali hampir berlanggar dengan kereta lain.Nasib baik tramko di Alexandria lebih tertib dipandu.Di Kaherah,lorong 3 boleh dimuatkan 5 buah kereta.Mereka sangat mahir memandu kereta.

Tatkala terpandang kereta buatan Malaysia,tersemat juga rasa bangga menjadi warga Malaysia.Antaranya ialah kembara,waja dan gen 2.

Syukur mula bercambah..

Rakyat Mesir terlalu ramai.Hal ini membuatkan kadar kemiskinan juga tinggi.Di mana-mana terlihat pengemis meminta duit.Kebanyakan mereka orang tua,kanak-kanak dan orang cacat.Disebabkan perikemanusiaan yang masih tinggi,rasa kasihan bertambah-tambah.Kemudian kami sedar betapa beruntungnya menjadi insan yang sederhana dan mampu hidup tanpa mengemis di jalanan.Keadaan mereka sungguh menyayat hati.Memakai jubah yang sudah kotor dan buruk tapi masih bersolat.Keadaan pengemis di sini lebih teruk berbanding di Malaysia.

Itu soal pengemis.Jalanannya pula dipenuhi sampah sarap merata-rata melainkan jalan-jalan utama.Kadang-kadang rasa tidak lalu hendak melalui jalan tersebut.Ludahan,sampah serta bau yang tidak menyenangkan menyelubungi kebanyakan kawasan di Kaherah.Alhamdulilah jalan di Alexandria lebih baik sedikit dari Kaherah.Sesungguhnya keadaan di sini menambahkan lagi rasa syukurku mempunyai negara yang terurus dan lebih bersih dari sini.

Nampaknya malam sudah larut.Esok,hari kedua kami akan memulakan langkah sebagai pelajar perubatan.Satu perkara yang kami selalu diingatkan.Kami adalah aset negara,bangsa dan agama.Maka kami perlu bekerja keras menuntut ilmu memandangkan kami menggalas harapan ibu,ayah,agama dan negara.InsyaAllah,saya akan menyambung lagi cerita pengalaman saya di blog ini kiranya diberi kesempatan dan kesihatan oleh Allah.Banyak lagi cerita yang ingin saya kongsikan bersama kalian.Sebelum saya mengakhiri kalam,kepada sesiapa yang tahu taraf hadis di atas sama ada sahih,dhoif ,hasan atau sebagainya,minta tolong beritahu saya.InsyaAllah,kita sama-sama diberi keberkatan kerana berkongsi ilmu.



Firman Allah dalam surah At-taubah ayat 20 yang bermaksud,

"orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad di jalan Allah,dengan harta dan jiwa mereka,adalah lebih tinggi darjatnya di sisi Allah.Mereka itulah orang-orang yang memperoleh kemenangan"

Akhir kalam,semoga kita sentiasa berada dalam naungan keberkatan Allah dan bertambah taqwa dari hari ke sehari.Amin..Yang baik itu datangnya dari Allah dan yang buruk itu datangnya dari saya hakikatnya semua datang dari Allah disandarkan kepada saya hambaNya yang lemah ini.Wassalam.

11.11 p.m 10 Oktober 2009