Friday, March 26, 2010

Yang Sebenarnya..

Bismillahirrahmanirrahim...

Syukur berjuta-juta syukur kupanjatkan padaMu ya Allah,Tuhan yang Maha Pengasih.Dengai izinMu,saya masih mampu menikmati nikmat-nikmat hidup ini.
Alhamdulilah..

Sebelum itu,izinkan saya untuk tidak menulis terlalu formal seperti 'post' saya sebelum ini.
Saya memilih untuk menulis denganlebih santai pada kali ini.

Yang Sebenarnya...

Yang sebenarnya,
terlalu banyak ingin saya cerita,
terus bercerita dan berkongsi bak si penglipur lara,
niat di hati ingin menghiburkan hati yang mendengar,
mana tahu cerita tak menarik.

Yang sebenarnya,
ketika ini perasaan bercampur baur,
kerana peperiksaan yang lepas tidak seperti yang disangka,
konflik hidup makin menguji,
menuntut kesabaran untuk menempuhi.

Yang sebenarnya,
jawapan yang dicari sudah diketemui,
mengapa tubuh selalu lemah,
kadang kala pengsan di kaki lima,
mujur ramai yang prihatin.

Yang sebenarnya,
ada satu perasaan,
bukan positif maka lawannya negatiflah ia,
yang pasti tidak seharusnya ada dalam diri,
bergelar 'MUSLIM',
putus asa bukan satu pilihan.


Yang sebenarnya,
tangan tak mampu ditusuk jarum panjang itu lagi,
kalau jerit itu tidak memalukan,
pasti itu menjadi pilihanku,
namun hati ini kukeraskan,
sakit yang dirasai dihiraukan,
hingga jari pula menjadi mangsa,
kerana digigit angkara pura-pura menahan sakit.

Yang sebenarnya,
aku lupa kesakitan dan kesengsaraan,
anak-anak kecil di bumi Palestin,
berganda-ganda berbanding kesakitan yang kualami,
syukur terlafaz meski bukan di bibir,
tapi hati pasti mengerti.





Yang sebenarnya,
rindu yang ditanggung tak tertahan-tahan lagi,
seumpama air mata akan bergenang lagi,
terhadap insan yang jauh lagi disayangi,
keluargaku kini selalu di hati.

Yang sebenarnya,
semester baru telah pun bermula,
diiringi pula masalah yang bertimpa-timpa,
bermula dari masalah perpindahan universiti,
rumah sewa,tiket pulang ke Malaysia,
sehingga masalah untuk mendapatkan rawatan.

Yang sebenarnya
ada sesuatu,
yang mengganggu damai di hati,
kerana khilaf sendiri,
dalam mencari redha Ilahi.

Yang sebenarnya,
rakan-rakan yang Allah kurniakan padaku,
antara nikmat yang terbesar,
tak mampu kubalasi,
melainkan dengan kata syukur.

Yang sebenarnya,
hati ini benar-benar tersedar dari lamunan panjang,
meski kadang terlupa dan terlalai,
dek iman yang selalu digugat-gugat,
dek hasutan syaitan durjana,
namun kehilangan insan bernama Ahmad Sarhan Ahmad Khan,
menambah sebab untuk bermuhasabah,
bahawa ajal bukan hanya tiba di usia tua.

Yang sebenarnya,
kehidupan seharianku kini umpama tak berguna,
kerana aku tertanya-tanya sendiri,
hari ini yang kumiliki,
adakah diredhai oleh sang pencipta.

Yang sebenarnya,
hati ini takut sendiri,
mengenangkan dosa yang lalu,
adakah terampun,
dek taubat yang entah bagaimana khusyuknya,
sedang neraka menunggu untuk membakar,
tubuh yang terkandung dosa.

Yang sebenarnya,
air yang panas terkena di tanganku pun mengundang jeritan,
apatah lagi azab Allah yang digambarkan dalam kitabNya,
lantas api yang menyala selalu kutenung,
agar dapat kubermuhasabah,
adakah kepanasan sebegitu digandakan lagi 70 000 kali kepanasannya,
sanggupkah ku diazab?
Nauzubillah..

Ya Allah,aku bermohon keampunan dariMu,atas segala khilaf yang kulakukan secara sedar atau tidak.Aku mahu ke syurgaMu,tapi khilafku seolah tidak memberi harapan.Namun aku hambaMu yang lemah,sudah pasti tidak tertanggung olehku azab api nerakaMu.Maka ampunkanlah olehMu dosa-dosaku dan matikanlah daku dalam keredhaanMu kerana kutahu Engkau Tuhan yang Maha Pengampun.Kurniakanlah aku kekuatan dan ketabahan serta petunjuk untukku terus mengabdikan diri serta kehidupanku hanya untukMu,Ya Allah.Amin.



Dan sebenarnya,

ini bukan lagu Yuna.

Sekian,wassalam.