Saturday, October 10, 2009

Jauh perjalanan,luas pengalaman.bertambah pedoman..





















Bismillahhirrahmanirrahim.,
Alhamdulilah,setelah beberapa lama,akhirnya dapat juga saya siapkan
post saya yang pertama ini.Dalam post ini,saya ingin berkongsi pengalaman dengan para pembaca blog saya dengan harapan supaya kita sama-sama menyingkap iktibar serta pedoman yang dapat perolehi dari pandangan mata hati di samping mata kasar melalui pengalaman saya di bumi anbiyak ini..
Mesir,sebuah bumi kinanah..

Hijrahku bermula..

sabda Nabi Muhammad S.A.W
"sesiapa yang mengembara kerana untuk belajar sesuatu ilmu akan diampunkan dosa baginya sebelum dia melangkah"

Lebih kurang pkl 12.00 tengah malam di KLIA,1 Oktober 2009 pesawat EgyptAir perlahan-lahan bergerak meninggalkan tanah airku yang tercinta,bumi Malaysia.Kepalaku terjenguk-jenguk melihat pemandangan lampu-lampu di jalan-jalan dari cermin tingkap.Hati terasa sebak terpaksa meninggalkan tanah air,tempat tumpahnya darah apatah lagi terpaksa meninggalkan keluarga dan rakan-rakan yang sangat aku sayangi.Allah saja yang tahu bagaimana beratnya hati ingin meninggalkan segalanya yang ada di sini.Namun,mengingatkan hijrahku ini ialah jihad lillahita'ala,kukuatkan azam dan semangat.

Kini baru kusedar nilai sebuah hijrah yang pernah dilakukan oleh Nabi Muhammad S.A.W,betapa sedihnya hati baginda apabila terpaksa meninggalkan kampung halamannya,Mekah.Namun berkat harga sebuah pengorbanannya,syukur pada Allah Islam berkembang ke seluruh dunia sehingga ke hari ini.

Destinasi sudah pasti.Mesir,bumi yang pernah diduduki Nabi Musa dan juga Firaun merupakan destinasi kami pelajar-pelajar yang diberi peluang melanjutkan pelajaran dalam perubatan tajaan MARA.Perjalanan selama 12 jam meredah langit biru bukan semudah yang disangka.Apa tidaknya,seharian kami menguruskan barang untuk ke Mesir.Ditambah pula kami hanya duduk selama berjam-jam menambahkan keletihan.Belakang badan sudah terasa sengal-sengalnya.Sungguh tidak selesa.Perjalanan panjang ini membuatkan kami seolah-seolah sudah berhari-hari berada di pesawat ini.Tapi kami hiraukan saja keletihan ini dan berdoa agar cepat sampai dengan selamat.Walaupun begitu,kami teruja untuk menjejakkan kaki ke bumi Mesir.Hatiku berdoa supaya segala urusan kami dipermudahkan di sana nanti.Maklum sahaja kami sudah diceritakan pelbagai kisah buruk di Mesir ini.Tapi aku percaya,Allah akan sentiasa membantu orang-orang yang berjihad di jalanNya..InsyaAllah.

Kaherah destinasi pertama.

Pemandangan dari dalam pesawat telah memberi gambaran sedikit sebanyak realiti tentang bumi Mesir.Sebaik sahaja mendarat di lapangan terbang Kaherah,Mesir kami dapat melihat gurun dan beberapa kapal terbang yang seolah-olah telah diletupkan lama dulu.Mungkin kesan perang pada Oktober 1979 yang lalu.

Di lapangan terbang antarabangsa itu,kelihatan struktur bangunan nampak moden,sayangnya luasnya seperti lapangan terbang terminal 3,Subang.Memang KLIA lebih layak dikagumi kecanggihan dan kemodenan bangunan berbanding di Kaherah.Udara di sini dipenuhi partikel-partikel debu namun masih boleh dihirup untuk meneruskan kehidupan.

Kaherah..Sebuah bandar yang besar dan sesak dengan jumlah penduduknya lebih kurang 20 juta orang.Ketika kami sampai,kereta sudah memenuhi jalan-jalan raya.Hon berbunyi berkali-kali dari segenap penjuru.Bagi mereka,memandu sambil mengehon adalah perkara wajib.Pernah sekali saya menaiki sebuah teksi,pemandunya mengehon sesuka hati kerana hon berada di hujung jarinya.Kelajuan kereta di sini sangat laju biar pun kereta yang dipandu hanya kereta buruk.Jalan raya seperti tidak mempunyai peraturan.Pemandu mengehon dan mengundurkan kereta di lebuh raya adalah pemandangan biasa.Kalaulah diberi peluang memandu di sini,aku tidak akan menerima kerana hanya akan menekan jiwa menambah stress dan runsing di kepala.

Roller coaster Mesir..

Aku belum pun pernah menaiki roller coaster di sini.Tapi pengalamanku menaiki 'tramko' ibarat menaiki roller coaster.Kelajuan yang dibawa hampir mencecah 140km/hour.Sangat menakutkan tapi lama-lama terasa adventure pula.Tramko yang dipandu beberapa kali hampir berlanggar dengan kereta lain.Nasib baik tramko di Alexandria lebih tertib dipandu.Di Kaherah,lorong 3 boleh dimuatkan 5 buah kereta.Mereka sangat mahir memandu kereta.

Tatkala terpandang kereta buatan Malaysia,tersemat juga rasa bangga menjadi warga Malaysia.Antaranya ialah kembara,waja dan gen 2.

Syukur mula bercambah..

Rakyat Mesir terlalu ramai.Hal ini membuatkan kadar kemiskinan juga tinggi.Di mana-mana terlihat pengemis meminta duit.Kebanyakan mereka orang tua,kanak-kanak dan orang cacat.Disebabkan perikemanusiaan yang masih tinggi,rasa kasihan bertambah-tambah.Kemudian kami sedar betapa beruntungnya menjadi insan yang sederhana dan mampu hidup tanpa mengemis di jalanan.Keadaan mereka sungguh menyayat hati.Memakai jubah yang sudah kotor dan buruk tapi masih bersolat.Keadaan pengemis di sini lebih teruk berbanding di Malaysia.

Itu soal pengemis.Jalanannya pula dipenuhi sampah sarap merata-rata melainkan jalan-jalan utama.Kadang-kadang rasa tidak lalu hendak melalui jalan tersebut.Ludahan,sampah serta bau yang tidak menyenangkan menyelubungi kebanyakan kawasan di Kaherah.Alhamdulilah jalan di Alexandria lebih baik sedikit dari Kaherah.Sesungguhnya keadaan di sini menambahkan lagi rasa syukurku mempunyai negara yang terurus dan lebih bersih dari sini.

Nampaknya malam sudah larut.Esok,hari kedua kami akan memulakan langkah sebagai pelajar perubatan.Satu perkara yang kami selalu diingatkan.Kami adalah aset negara,bangsa dan agama.Maka kami perlu bekerja keras menuntut ilmu memandangkan kami menggalas harapan ibu,ayah,agama dan negara.InsyaAllah,saya akan menyambung lagi cerita pengalaman saya di blog ini kiranya diberi kesempatan dan kesihatan oleh Allah.Banyak lagi cerita yang ingin saya kongsikan bersama kalian.Sebelum saya mengakhiri kalam,kepada sesiapa yang tahu taraf hadis di atas sama ada sahih,dhoif ,hasan atau sebagainya,minta tolong beritahu saya.InsyaAllah,kita sama-sama diberi keberkatan kerana berkongsi ilmu.



Firman Allah dalam surah At-taubah ayat 20 yang bermaksud,

"orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad di jalan Allah,dengan harta dan jiwa mereka,adalah lebih tinggi darjatnya di sisi Allah.Mereka itulah orang-orang yang memperoleh kemenangan"

Akhir kalam,semoga kita sentiasa berada dalam naungan keberkatan Allah dan bertambah taqwa dari hari ke sehari.Amin..Yang baik itu datangnya dari Allah dan yang buruk itu datangnya dari saya hakikatnya semua datang dari Allah disandarkan kepada saya hambaNya yang lemah ini.Wassalam.

11.11 p.m 10 Oktober 2009























0 Apa kata mereka?:

Post a Comment