Monday, October 26, 2009

Akhirnya bumi ini dilimpahi berkatNya jua..


Bismillahirrahmanirrahim..

Alhamdulilah,setelah hampir sebulan di bumi kinanah ini,kami berpeluang merasai suasana ketika hujan di Mesir..


Jarang-jarang hujan..

Mesir memang jarang hujan.Pagi semalam setelah beberapa minit azan subuh berkumandang,bumi Mesir ditimpa hujan lebat.Sungguh tenang suasana hening pagi ini.Terasa seolah-olah Allah sedang memberikan rahmatNya kepada tanah yang sudah lama tidak berhujan.Sememangnya di Malaysia,hujan adalah perkara biasa.Tetapi,hujan di Mesir sangat jarang dan dianggap rahmat yang besar.Syukur pada Allah kerana telah memberikan sebahagian dari nikmatNya.


Membina nilai sabar..

Hari demi hari,kami mula sukakan bumi Mesir ini.Terlalu banyak baik dan buruknya.Yang baiknya apabila berjumpa orang arab yang sangat peramah.


Sebagai contoh,Jumaat lepas saya diajak oleh senior tahun dua untuk ke jamuan anjuran ustazahnya(orang arab).Muda lagi orangnya,baru 22 tahun.Pada pertemuan pertama itu,kami disambut penuh meriah.Mula-mula dia berjabat tangan lalu dipeluknya kami seerat-eratnya.Kemudian,dicium pula pipi kami berkali-kali.Mungkin situasi ini nampak pelik di Malaysia.Tapi di Mesir,beginilah orang arab meraikan ukhuwah mereka.Tidak cukup dengan itu,ustazah itu memegang tanganku bagai tidak mahu berenggang.Naik hairan juga kami dibuatnya.


Itu contoh orang arab yang baik.Ahad lepas kami ke Carrefour pula.Jalan-jalan timba pengalaman di samping meluaskan pemandangan.Semasa hendak pergi ke sana lagi kesabaran kami sudah teruji.Tambang teksi yang selalunya 5 L.E dinaikkan sehingga 10L.E.Akhirnya,tanpa pilihan kami terpaksa mengikut permintaan harga pemandu teksi tersebut.Setelah sesi tawar-menawar barulah kami dapat kadar 8L.E.Sakitnya hati ini biarlah Allah yang tahu.Semasa hendak balik pun kami ditipu lagi denagn pemandu teksi.Mula-mula dia setuju hendak ambil tambang sebanyak 9L.E yang kami rasakan sangat mahal.Tiba-tiba setelah sampai ke asrama MARA,dia meminta 10 L.E.Geram sungguh.Katanya jalan ke mari sangat komplikated.Cakap tak serupa bikin betul pak cik itu(sebenarnya muda lagi).Sabar sahajalah.Kami berazam hendak menguasai bahasa arab ammiah.Senang untuk kami 'bergaduh' dengan orang arab nanti.


Kes di kedai makan memang benar-benar menguji kesabaran kami.Mentang-mentang kami orang asing di negara ini,mereka seolah-olah mengabaikan kewujudan kami.Bayangkan kami terpaksa menunggu lama di kaunter untuk menempah makanan kerana si 'cashier' sibuk melayan orang arab yang lain yang datang untuk membeli makanan.Pada hal kami telah lama berada di situ.Sepertinya kami ini halimunan.Tidak dipedulikan langsung.Ikutkan hati hendak sahaja ke kedai lain,tapi pilihan tidak banyak tambahan pula kami sudah penat kerana baru pulang dari kuliah.


Allah benar-benar mahu menguji tahap kesabaran hamba-hambaNya di sini.Alhamdulilah,sekurang-kurangnya kami dapat meningkatkan keimanan apabila bersabar.Sebab itulah menjadi orang beriman sangat beruntung.


'Apabila mereka diberi nikmat,mereka bersyukur.Apabila mereka ditimpa musibah,mereka bersabar'


Berbaloikan jadi orang beriman?(^_^)Memang berbaloi-baloi..Alhamdulilah..







0 Apa kata mereka?:

Post a Comment