Wednesday, October 12, 2011

Warkah Umi

Bismillahirrahmanirrahim..


Anakku,
Saat umi menulis warkah ini buatmu,
Umi sendiri tidak tahu,
Apakah umi akan sempat menemuimu,
Kerana saat umi menulis ini,
Calon ayahmu pun belum umi ketemui,
Belum pula umi cari-cari.

Anakku,
Umi ingin menamaimu,
Muhammad Al-Fateh jika kamu lelaki,
Kerana keperwiraan Sultan Muhammad Al-Fateh,
Menambat hati umi
 untuk mengabadikan namanya padamu,anakku..
dengan harapan
 kehebatannya dalam berjihad,
serta ketaqwaannya kepada Allah,
menjadi ikutan buatmu wahai anakku…


Anakku,
Andai engkau seorang perempuan,
Ingin pula umi menamaimu,
Wardatul Jannah..
Yang bermaksud,
Mawar syurga,
Kerana mawar itu begitu indah rupanya,
Tapi batangnya berduri tajam,
Umi harapkanmu jadi seperti mawar itu,
Indah akhlak dan parasmu,
Tetapi bukan sebarang orang boleh memetikmu,
Hanya insan yang bersarung tangankan iman dan taqwa,
Layak untuk menyuntingmu,
Menjadikanmu sayap kiri di jalan jihad.


Anakku,
Pun begitu,
Umi belum pasti,
Adakah nama-nama yang umi fikirkan tadi,
Bakal menjadi namamu,
Kerana umi perlu bermunaqasyah,
Dengan ayahmu.

Anakku,
Sekali lagi umi katakan,
Umi belum pula tahu siapakah gerangan,
Yang bakal menjadi ayahmu,
Cuma apa yang umi harap,
Ayahmu itu nanti,
Bakal menjadi teman hidup umi yang setia,
Bukan sahaja setia kepada umi,
Namun setia pula pada iman dan taqwanya,
Dan umi berdoa,
Bakal ayahmu itu nanti,
Adalah seorang insan,
Yang tidak betah mengaku hamba,
Kepada Tuhan yang Esa.
Umi juga berharap padaNya,
Agar ayahmu itu kelak,
Seorang pemuda Islam yang hebat,
Syariat Islam diutamakan,
Agar mengalir kehebatan dan ketaqwaannya,
Padamu wahai anakku.

Dan,
Jika ayahmu seorang yang menghafaz furqan,
Kitab paling mulia,
Mungkin itu bonus yang Allah beri kepada kita,
Supaya terus menjadi hambaNya,
Yang tidak putus-putus bersyukur padaNya.
Namun,
Jika ayahmu itu seorang insan biasa,
Biarlah ketaqwaan dan keindahan akhlaknya,
Menjadi hadiah buat kita dari Allah,
Jangan pula kau mengeluh,
Kerana ayahmu itu tidak sehebat ayah kepada mujahid yang lain.

Anakku,
Kelmarin terlintas hati umi,
Untuk menonton sebuah video,
“Koran by Heart” tajuknya,
Memaparkan kisah benar,
Peserta-peserta cilik,
Yang memasuki pertandingan hafazan,
Peringkat antarabangsa,
Umi menangis apabila,
Seorang budak kecil,
Umurnya baru 10 tahun,
Hafazannya mantap,
Bacaannya pula hampir sempurna,
Umi menangis teresak-esak,
Umur umi sudah menjengah dekad yang kedua,
Tapi hafazan umi ,
Terlalu lemah jika dibandingkan dengan  peserta itu.

video


Anakku,
Semalam umi pergi sendirian,
Ke kedai buku berhampiran syu’ban muslimin,iskandariah
Umi jumpa buku yang dicari-cari,
Dan paling gembira sekali,
Umi terjumpa sebuah buku,
Sangat nipis,
“The Best Way To Memorize Al-Quran”
Tapi tajuknya sahaja,
Sudah bisa membuat umi tidak teragak-agak,
Untuk terus membelinya.


Sejak terjumpa buku itu,
Umi tahu,
Buku ini akan umi serahkan padamu
Apabila tiba masanya
Kerana umi tahu
Umi mungkin sudah kesuntukan masa
Untuk mengejar sebuah cita-cita  agung
Dan umi sungguh-sungguh berharap
Agar kau dapat menyempurnakan
Cita-cita murni umi

Umi ingin memiliki anak-anak
Yang hafazan quran itu menjadi minatnya
Tafsir quran itu menjadi keterujaannya
Akhlaknya pula berpandukan al-quran dan sunnah
Sungguh besar cita-cita umi
Sudilah kiranya kau melaksanakan impian bondamu ini
Wahai anakku

Tetapi
Andai permintaan umi tidak tertanggung dek pundakmu
Jangan dipaksa dirimu,
Kerana umi juga pernah menjadi seorang anak.

Anakku,
Umi berharap,
Jika umi mengeluh kerana penat menjagamu nanti,
Ayahmu nanti akan  ingatkan umi,
Umi sedang menjaga seorang bakal mujahid Islam,
Jika umi runsing mendengar esak dan tangismu yang tidak berkesudahan,
Ayahmu nanti akan menenangkanmu pula,
Jika umi sudah buntu dengan karenahmu,
Ayahmu kelak akan mengingatkan umi,
Bahawa apabila kau dewasa nanti,
Doamulah yang kami nanti-nantikan
Apabila alam kami sudah bertukar menjadi alam barzakh

Anakku,
Umi bukan wanita sempurna,
Bukan pula suci dari dosa,
Tidak sesabar Siti Khadijah,
Tidak setabah Siti Aisyah,
Tidah pula sehebat taqwanya Rabiatul Adawiyah,
Memang tidak pantas untuk pemuda secekal Rasulullah,
Bukanlah padan untuk pemuda segagah Muhammad Al-fateh,
Umi Cuma harapkan,
Allah memudahkan hidup kita,
Untuk mencari jalan redhaNya.

Anakku,
Umi tidak tahu bila kita akan bertemu,
Semoga wajah comelmu,
Serta akhlak muliamu,
Menjadi penawar duka dan lelah,
Ayah dan bondamu.


Wahai anakku..
Bertemu lagi kita di syurga Allah,
insyaAllah..

0 Apa kata mereka?:

Post a Comment