Thursday, October 21, 2010

TLoA:Jangan kau lupa..

Bismillahirrahmanirrahim..

Alhamdulilah,dalam kesibukan untuk persediaan peperiksaan,datang pula tugas yang menuntut sedikit komitmen.Namun begitu,sebagai seorang mukmin,tanggungjawab yang diberi pasti dilaksanakan.

Tema The Letter of Avicenna(TLoA),majalah rasmi Perubatan Cawangan Iskandariah (PCI) pada bulan ini ialah HUBUNGAN.

Maka,setelah mengharungi kekalutan untuk menjawab ujian praktikal modul 7,masa yang Allah beri selebihnya digunakan untuk menyiapkan sedikit karya yang berkaitan tema.

***************************************************************************************
JANGAN KAU LUPA....

Duhai sahabat,


Maafkan aku andai warkah kirimanku ini mengambil sedikit masamu yang berharga itu.Tetapi ada beberapa perkara yang ingin kukatakan padamu kerana kau adalah sahabatku.


Sahabat,


Lama sungguh tidak kita ketemu.Kau sudah banyak berubah mengikut rentak usia.Aku baru sahaja usai meninjau gambar-gambarmu di laman ‘Facebook’.Terpana aku melihatmu.Kau bertambah cantik sekarang.Ya,aku tidak berdusta tentang itu.

Sahabat,


Biarlah aku berterus terang sahaja tanpa berselindung apa-apa pun kerana kau sahabatku.Ukhuwah yang dibina pun sudah bertahun-tahun lamanya.Atas alasan itu juga kugelarkan kau ‘sahabat’,bukan pula ‘teman’,’rakan’ atau ‘kawan’ kerana kau sangat dekat denganku.Dekat di hatiku.


Reaksi pertamaku apabila melihat gambarmu,mataku berkaca-kaca.Hatiku sedih seolah-olah tidak percaya gambar yang sedang kulihat adalah gambarmu.


Kau sudah tidak bertudung lagi.

Kenapa sahabatku?Atas rasional apakah kau jadi begini?


Adakah kau lupa,kita pernah sama-sama menuntut ilmu agama di sekolah yang penuh barakah itu?


Adakah kau juga lupa menutup aurat itu satu kewajipan?


Tidakkah kau ingat dalil Al-Quran yang pernah Ustazah Ana ungkapkan di kelas kita dahulu?


“Hai Nabi! Katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin semua hendaklah mereka melabuhkan jilbab-jilbab mereka atas (muka-muka) mereka. Yang demikian itu lebih memastikan mereka agar dikenali (sebagai wanita Islam) supaya mereka tidak diganggu.” (al-Ahzab: 59)


Aku kira kau sudah faham benar dengan suruhanNya ini.Kau pelajar pintar di kelas kita dahulu.Sudah semestinya sepotong ayat ini tidak mustahil untuk kau fahami.



Sahabat,


Terkedu sebentar aku melihat gambar profilmu di ‘Facebook’.


Kau tidak berseorangan,tetapi kau berdua,bersama seorang lelaki ajnabi.


Sungguh aku terkilan melihat kau merelakan lelaki ajnabi itu merangkul pinggangmu sambil berlaga pipi mempamerkan saat bahagiamu.Air mataku mengalir buat sekian kalinya.Sebak.

Ya Allah!



Kau lupakah,sahabatku?Tiada pergaulan bebas yang dibenarkan dalam Islam!


Bukankah kita acap kali diterangkan mengapa ‘couple’ itu haram semasa di sekolah dahulu?


Bukankah kita dididik untuk tidak mengamalkan pergaulan bebas sejak di bangku sekolah lagi?


“Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk.” ( Al-Israa’: 32)


Maafkan aku kerana menegurmu sebegini rupa.

Kau yang kukenali dulu tidak pernah pun berurusan dengan lelaki ajnabi tanpa seorang teman,kini sudah berani keluar berdua-duaan dengan lelaki ajnabi di hadapan khalayak ramai.



Atau mungkinkah kau sudah lupa kita pernah sama-sama berusrah dan membincangkan hadis-hadis ini?


Daripada Abu Hurairah r.a katanya, Nabi S.A.W. bersabda :

“Sesungguhnya Allah Ta’ala telah menetapkan nasib anak Adam mengenai zina. Tidak mustahil dia pernah melakukannya. Zina mata ialah memandang. Zina lidah ialah berkata. Zina hati ialah keinginan dan syahwat,sedangkan faraj (kemaluan) hanya menuruti atau tidak menuruti.”*


Hadis kedua; Daripada Abu Hurairah r.a., dari Nabi S.A.W. sabdanya :

“Nasib anak Adam mengenai zina telah ditetapkan. Tidak mustahil dia pernah melakukannya. Dua mata, zinanya memandang. Dua telinga, zinanya menden

gar. Lidah, zinanya berkata. Tangan, zinanya memukul. Kaki, zinanya melangkah. Hati, zinanya ingin dan rindu, sedangkan faraj (kemaluan) hanya mengikuti atau tidak mengikuti.”


Tetapi kini,apa yang telah mempengaruhimu untuk memilih si dia berbanding si DIA yang maha agung?


“Perempuan yang jahat untuk lelaki yang jahat dan lelaki yang jahat untuk perempuan yang jahat, perempuan yang baik untuk lelaki yang

baik dan lelaki yang baik untuk perempuan yang baik.” (an-Nur':26)


Tidakkah kau yakin dengan janji Allah?


Janji Allah adalah pasti.Bukan dusta semata-mata.


Tinggalkanlah ‘si dia’.Allah telah lama menyediakan jodoh untukmu.Cuma cepat atau lambat itu biarlah Allah sahaja yang menentukan kerana Dia maha mengetahui.Kalau bukan di dunia,yakinlah bahawa Allah menyediakan jodoh yang terbaik untukmu di akhirat nan abadi.InsyaAllah.



Sahabat,


Semakin lama ,kurasakan ukhuwah kita sema

kin renggang sejak kau sudah pun ‘berpunya’.


Kau lebih sedia meluangkan masa dengan ‘si dia’ berbanding denganku,sahabat baikmu apatah lagi dengan teman-teman yang lain.Seringkali pula kau biarkan emel yang kukirim padamu dibiar tidak berbalas.


Kau tidak semesra dulu.Aku rindukanmu,sahabat!


Kenangan susah dan senang kita bersama masih lagi segar di ingatanku.Sungguh aku merindui saat-saat kita bersama dahulu.Bersama-sama meredah hujan demi ke usrah di masjid.Aku juga rindukan saat kita sama-sama didenda Ustazah Sumayyah kerana sering terlewat menghadiri kelas tajwidnya.


Tetapi aku dapat rasakan kau semakin jauh denganku.


Dan berpegang teguhlah kamu semua dengan tali Allah (Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai, serta ingatlah nikmat Allah suatu ketika dahulu (ketika Jahiliyyah) kamu bermusuh-musuhan, maka Allah menjinakkan antara hati-hati kamu, lalu jadilah kamu dengan nikmat Allah tersebut orang-orang yang bersaudara. Dan ketika kamu berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya agar kamu mendapat petunjuk.”


Dan hendaklah terdapat di kalangan kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada ma’ruf dan mencegah daripada munkar. Merekalah orang-orang yang beruntung.”

(Ali ‘Imran: 103-104)



Sahabat,

aku sahabatmu,masih menyayangimu bukan hanya kerana kau sahabatku,tetapi kau juga saudara seagamaku.Menjadi tugasku untuk mengajakmu kembali ke jalan hidup yang diredhai Allah seperti mana yang telah kita praktikkan ketika berada di sekolah yang penuh barakah itu.


Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa di antara kamu melihat kemungkaran, maka dia hendaklah menegah kemungkaran itu dengan tangannya iaitu kuasanya. Jika tidak mampu, hendaklah ditegah dengan lidahnya. Kemudian kalau tidak mampu juga, hendaklah ditegah dengan hatinya. Itulah selemah-lemah iman.


Aku enggan dituduh mempunyai iman yang lemah.Maka atas alasan itulah aku menggagahkan diri menulis warkah ini bukan semata-mata untuk berlagak baik di hadapanmu.Mungkin juga apa yang telah berlaku terjadi di luar kesedaranmu.


Aku sedar kita manusia yang sering lupa.


Aku juga pernah jahil,pernah khilaf.


Alhamdulilah,Allah izinkan aku berubah.


Jika aku berjaya melawan nafsuku sendiri,mengapa tidak kau?


Aku tidak mahu berusaha mencari syurgaNya seorang diri.


Aku mahu ke sana bersama-sama orang yang kukasihi,termasuk kau,sahabatku.


Maka aku datang untuk saling mengingatkan.


Jangan pernah kau putus asa untuk kembali ke jalanNya kerana pintu taubat sentiasa terbuka untuk orang-orang yang mahu bertaubat.



Yang masih menyayangimu,

Sahabatmu.

***************************************************************************

Kalau ada yang terkhilaf atau yang terasa hati,mohon untuk diampunkan.

Sekian,wallahualam.

0 Apa kata mereka?:

Post a Comment