Sunday, June 6, 2010

TLoA:Anda Sibuk?


Bismillahirrahmanirrahim...


Syukur pada Allah,peperiksaan akhir modul 4 sudah pun berakhir.Namun begitu,tanggungjawab yang lain masih menunggu dan harus ditunaikan.Artikel seterusnya untuk majalah The Letter of Avicenna(TLoA),majalah rasmi Perubatan Cawangan Iskandariah (PCI).

Dengan izin Allah serta bantuan rakanku,'Nenek',artikel bertajuk "Anda Sibuk?" berjaya disiapkan.

************************************************************************************


“Argh,bila masa nak rehat ni?”keluh Alisya,pelajar perubatan tahun pertama Universiti Iskandariah,Mesir.

“Mak aku cakap,belajar medik memanglah sibuk,”balas Hairina,rakan serumah Alisya.

Tik tok,tik tok..Masa terus berlalu.Setiap masa,setiap jam,setiap minit anda ada sahaja yang perlu dilakukan?Anda rasa anda sibuk?Tiada masa untuk rehat?Jom tinjau antara sebab-sebab sibuk yang sering kita berikan.

“Lamanya kelas...”
Kehidupan sebagai seorang pelajar perubatan tidak dinafikan sememangnya sibuk.Bermula dengan rutin harian yang terpaksa bergegas ke kelas seawal 8 pagi dan kadang-kadang berakhir ketika sang suria pun hampir terbenam.Jangka masa kelas yang panjang terutamanya bagi para pelajar yang telah memulakan tahun klinikal adalah antara cabaran yang harus ditempuhi.Namun,bak kata pepatah ’alah bisa tegal biasa’.Setiap perjuangan yang pahit,insyaAllah akan mendapat hasil yang memuaskan.

“Carilah ilmu sampai ke negeri Cina”(hadis Rasulullah).
Umur masih muda,tenaga masih banyak, tambahan pula bermukim di bumi anbiyak,bumi barakah yang kaya dengan khazanah ilmu .Maka rugilah kalau masa muda yang ada tidak dimanfaatkan untuk mencari ilmu sebanyak yang mungkin.Oleh sebab itu,ramai pelajar perubatan di Mesir merebut peluang yang ada dengan mengikuti kelas-kelas sampingan seperti kelas tajwid, kelas bahasa arab dan kelas agama.Tidak hairanlah ramai pelajar perubatan di sini kerap dihambat kesibukan.

“Kami ahli aktif PERUBATAN”
Selain komitmen belajar,pelajar perubatan digalakkan untuk memberi komitmen yang baik dalam aktiviti-aktiviti yang dianjurkan persatuan.Dalam kekalutan mengadaptasi diri dengan ilmu yang baru diperolehi,tidak kurang juga yang meluangkan masa menghadiri seminar,forum,ceramah,pertandingan,lawatan serta sukan yang dianjurkan oleh pihak persatuan terutamanya anjuran PERUBATAN.Kesibukan makin menjadi-jadi jika anda merupakan AJK tidak kira sama ada AJK induk mahupun AJK bawahan kerana banyak mesyuarat serta komitmen yang diperlukan bagi memastikan program persatuan yang dirancang berjalan dengan lancar.

“Banyak assignment kena buat..”
Sistem pembelajaran di peringkat pengajian tinggi memerlukan penilaian dari pelbagai aspek.Bukan sahaja tahap penguasaan terhadap satu-satu bidang ilmu yang bakal dinilai,malah kemahiran kerja berkumpulan serta keyakinan untuk membentangkan kertas kerja menjadi ukuran untuk meneruskan langkah sebagai seorang pelajar perubatan.Seperti biasa,perbincangan menjadi agenda utama setelah mendapat tugasan dari tutor masing-masing.Kemudian sesi mencari maklumat bermula,diikuti pula sesi pengesahan maklumat oleh tutor.Seterusnya,sesi pembentangan akan menyusul.Nampak mudah,bukan?Tetapi,untuk menyiapkan sesebuah ‘assignment’ memerlukan usaha yang bukan sedikit untuk mencapai kepuasan para penilai.

Takutnya nak exam..’
Apabila perpustakaan makin sesak,emosi para pelajar semakin terganggu,dan cuti belajar telah bermula,itu petanda bahawa peperiksaan bakal menjelang.Pada saat inilah pelajar perubatan berada dalam kemuncak kesibukan mereka.Beraneka strategi dirancang untuk berjuang habis-habisan dalam dewan peperiksaan kelak.Ada yang sibuk menjawab soalan tahun-tahun lalu,ada pula yang sibuk membuat nota dan ada pula yang mengadap buku-buku rujukan yang tebal untuk mendapat maklumat tambahan.Apabila hari peperiksaan hampir tiba,strategi bertukar dengan sesi saling menyoal dengan rakan masing-masing demi mengingat kembali fakta yang dihafal.

Walau bagaimana pun kesibukan anda,ingat!Semua orang dikurniakan 24 jam setiap hari.Jika anda merasakan anda sibuk,fikirkan bahawa ramai lagi orang yang sibuk dari anda.Anda bukan menteri,bukan juga nabi untuk mengaku ssesungguhnya anda memang sibuk.Hakikatnya kita adalah sama cuma kita berasa sibuk mungkin kerana kurang bijak mengurus masa.Justeru,kesibukan yang anda rasa tidak seharusnya dijadikan alasan untuk tidak menyeimbangkan amalan kita untuk dunia dan akhirat.

Sebuah hadis Rasulullah s.a.w., antara lain menyatakan


“Perguna lima perkara sebelum datang lima perkara; masa mudamu sebelum tua, masa sihatmu sebelum sakit, masa lapangmu sebelum sibuk, masa beradamu (kaya) sebelum jatuh miskin dan masa hidupmu sebelum mati”.


Dalam kalam Dr. Imam Ahmad bin Hambal pula ada berbunyi


’Hidup ini adalah keyakinan dan perjuangan, dan perjuangan mukmin yg sejati tidak akan berhenti kecuali kedua tapak kakinya telah menginjak pintu syurga’.


Tangani kesibukan anda dengan bijak!

0 Apa kata mereka?:

Post a Comment