Monday, June 6, 2011

Indah Dunia..

 Dunia terlalu indah,
sehingga kita sering terlupa,
INDAH LAGI SYURGA ALLAH!

" Dan bagi tiap-tiap umat ada kiblatnya (sendiri) yang ia menghadap
kepadanya. Maka berlumba-lumbalah (dalam membuat) kebaikan. Di mana saja kamu
berada pasti Allah akan mengumpulkan kamu sekalian (pada hari kiamat).
Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu
"
Surah Al-Baqarah,ayat 148

Sunday, June 5, 2011

Izinkan Daku Mengadu..

Banyak masalah?
Masalah dengan kawan?
Masalah dalam pelajaran?
Masalah kewangan?
Masalah menjaga hati?



Jangan pernah lupa,
ALLAH sentiasa di sisi..

MENGADULAH PADA-NYA..



"Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu."
Surah Al-Mukmin,ayat 60.

Dengarkan lagu syahdu ini..

Munajat Seorang Hamba-Hijjaz


Dikala malam sunyi sepi
Bani insan tenggelam dalam mimpi
Musafir yang malangini pergi membasuh diri
Untuk mengadap-Mu oh Tuhan

Lemah lutut ku berdiri
Di hadapan mu tangisanku keharuan
Hamba yang lemah serta hina
Engkau terima jua mendekati
Bersimpuh dibawah duli kebesaran-Mu

Tuhan hamba belum pasti
Bagaimana penerimaan-Mu
Dikala mendengar pengaduanku
Ku yakin Kau tak mungkiri
Dalam wahyu yang Kau nuzulkan
Kau berjanji menerima pengaduanku

Dan Kau berjanji sudi mengampunkan ku
Dari segala dosa yang ku lakukan

Ampunan-Mu Tuhan
Lebih besar dari kesalahan insan
Hamba yakin pada keampunan-Mu Tuhan
Bukan tidak redha dengan ujian
Cuma hendak mengadu pada-Mu
Tempat hamba kembali nanti di sana


Thursday, June 2, 2011

Tak Nak Tundukkan Pandangan? Boleh..




"Bosannya..Semua benda tak boleh pandang..
Kena jaga pandanganlah,tunduk-tunduk lah..
Tak 'best' lah macam ni.."











"Eh,bukan semua benda tak boleh pandang.Islam cuma nak kita jaga diri,jaga hati.Awak tahu tak ada empat perkara,kalau awak pandang,dapat pahala..."                                                                      
                                                                                  








"Wah,'best'nya.Apa dia empat perkara tu?Cepatlah cerita,saya tak sabar nak dengar"












"Baiklah.Lepas kita tahu,jangan lupa amal ya!Cuba awak baca ayat-ayat di bawah ni."









‎4 Perkara Apabila Dipandang Mendapat 

Pahala


1-Al-Quran

membaca lagi bertambah pahala.



2-Kaabah




3-Ibu dan ayah

pandang dengan penuh kecintaan

                                                 
                                                4-Laut

melihat sambil memuji kebesaran Allah

Saturday, May 28, 2011

ITHAR,nama baru dalam hidupku....

Ithar?

Tak pernah dengar pun.
Saya pun baru tahu.

“Ithar” merupakan tingkatan tertinggi dalam ukhuwah Islamiah.

Dalam erti kata lain,mengutamakan orang lain sewaktu diri sendiri menghajatkan sesuatu keperluan.


Daripada Anas bin Malik radiallahuanhu, yang mana Rasullullah sallallahu alaihi wasallam bersabda (maksudnya):
"Tidak sempurna iman seseorang sehingga dia menyayangi saudaranya seperti mana dia menyayangi dirinya sendiri."
(Riwayat Bukhari)

Kita selalu cakap,
saya sayang Palestin.
Tapi,
apa buktinya?
Nak mengangkat senjata melawan si Zionis,memang tak mampu.
Nak bagi sumbangan tenaga,kudrat pun tak seberapa.
Nak bagi sumbangan kewangan,kerja pun belum lagi.
Tidak mengapa!
Kita masih boleh membantu mereka!
Bagaimana?


Ketahuilah,setiap usaha kita dilihat dan dinilai oleh Allah.

Wallahualam..

Friday, May 27, 2011

Padi Oh Padi..


Anda pernah bersangka buruk pada orang lain?
Ya?
Jangan risau!
Kita hanyalah manusia yang lemah,tidak lari daripada melakukan kesalahan.

Bertaubatlah!
Sesungguhnya Allah menerima taubat hamba-hambaNya yang ingin bertaubat.


“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.”
(Al-Hujurat: ayat 12)


Berikut adalah tips dari Syeikh Abdulkadir Al Jailani untuk sentiasa bersangka baik sesama insan.
Jika engkau bertemu dengan seseorang, maka yakinilah bahawa dia lebih baik darimu. Ucapkan dalam hatimu :
"Mungkin kedudukannya di sisi Allah jauh lebih baik dan lebih tinggi dariku".

Jika bertemu anak kecil, maka ucapkanlah (dalam hatimu) :
"Anak ini belum bermaksiat kepada Allah, sedangkan diriku telah banyak bermaksiat kepadaNya. Tentu anak ini jauh lebih baik dariku"..

Jika bertemu orang tua, maka ucapkanlah (dalam hatimu):
"Dia telah beribadah kepada Allah jauh lebih lama dariku, tentu dia lebih baik dariku."

Jika bertemu dengan seorang yang berilmu, maka ucapkanlah (dalam hatimu):
"Orang ini memperoleh kurnia yang tidak akan kuperolehi, mencapai kedudukan yang tidak akan pernah kucapai, mengetahui apa yang tidak kuketahui dan dia mengamalkan ilmunya, tentu dia lebih baik dariku."


Jika bertemu dengan seorang yang bodoh, maka katakanlah (dalam hatimu) :
"Orang ini bermaksiat kepada Allah kerana dia bodoh (tidak tahu), sedangkan aku bermaksiat kepadaNya padahal aku mengetahui akibatnya.
Dan aku tidak tahu bagaimana akhir umurku dan umurnya kelak. Dia tentu lebih baik dariku."

Jika bertemu dengan orang kafir, maka katakanlah (dalam hatimu) :
"Aku tidak tahu bagaimana keadaannya kelak, mungkin di akhir usianya dia memeluk Islam dan beramal soleh. Dan mungkin boleh jadi di akhir usia diriku kufur dan berbuat buruk.

Jadilah seperti al-Hasan al-Basri, memiliki ilmu yang tinggi sehingga menjadi orang yang tunduk pada Allah dan tidak tunduk pada mana-mana manusia. Mampu memberi nasihat dan kata-kata yang berhikmah sehingga pendengar menitiskan air mata.

Jadilah seperti padi.
Makin berisi,makin tunduk.

Wallahualam...

Saturday, May 14, 2011

Dia masih anakmu..


Bismillahirrahmanirrahim...

Syukur kepada Allah kerana masih memberi peluang untukku mencoret lagi di sini.
Alhamdulilah.
Semoga setiap perkataan yang terzahir di sini diredhai Allah.

********************************************************************************
Relevan Hari Ibu?

Mei,
bulan penuh bermakna.Bulan ini mengandungi Hari Ibu,Hari Guru dan juga hari kelahiran bapaku,Shahul Ikram bin Adnan.Mei,umpama bulan penghargaan buat insan-insan istimewa yang bertakhta di hatiku.Walaupun ada yang mengatakan Hari Ibu adalah haram disambut,aku tetap dengan pendirianku untuk terus meraikan hari tersebut.Cuma yang berbeza,setiap hari adalah hari ibu buatku.



********************************************************************************
Dia masih anakmu..

Anak itu,
masih kecil,
masih memegang botol susu,
tubuhnya kurus kerana memilih makan,
biar jenuh ibunya menyuruh makan itu dan ini.

Anak itu,
selalu dimanjakan oleh bapanya,
kerana baru setahun lebih mengenal dunia,
anak itu memperoleh kurnia Ilahi,
sepasang adik kembar,
yang menuntut perhatian lebih,
daripada si ibu.
Anak itu,
selalu merasakan si kembar itu perampas,
perhatian kepada si kembar bercurahan,
sehingga anak itu selalu cemburu.

Namun,
anak itu disayangi ramai,
ada ibu saudara,atuk dan nenek,
yang sudi memberi kasih sayang,
pengubat cemburu dan hati yang lara.

Anak itu,
selalu dipesan,
'anak sulung kena selalu mengalah dengan adik-adik',
dan selalu juga anak itu tewas,
mengundang amarah kedua orang tua.

Lalu,
anak itu akan mengurung diri,
berendam air mata,
kerana dimarahi dan dibuli adik sendiri.

Satu hari di sekolah rendah,
anak itu menyertai nasyid,
disuruh pula oleh si ustazah untuk membeli tudung seragam,
anak itu dengan rela hati mengundur diri,
kerana tidak mahu meminta wang,
daripada kedua orang tua yang dikasihinya,
walhal,keluarganya berkemampuan dan tidak fakir.

Remaja anak itu,
selalu menahan diri,
daripada terikut-ikut kawan,
menukar pakaian,beg dan aneka berangan,
mengikut peredaran masa,
kerana anak itu masih belum punya wang sendiri,
dan dia malu untuk terus meminta daripada ayah dan bondanya..

Masa seakan pantas berlalu,
anak itu sudah dewasa,
sudah pandai berdikari.

Anak itu.
sudah tidak memegang botol susu lagi,
malah memegang buku ke hulu ke hilir,
kerana dia tahu,
di bahunya tergalas sejuta harapan,
ayah,bonda,agama dan negara,
mengimpikan kejayaannya.

Anak itu,
setiap kali berpuasa,
dia teringat pesanan bondanya,
"jangan malas sahur.Sahur yang membezakan puasa orang Islam dan bukan Islam"
dengan izin Allah,anak itu semakin sehat.

Dan kini,
walau sudah dewasa,
anak itu masih menyayangi bapanya,
cuma tidak dapat bermanja seperti dulu,
tapi tidak bererti dia membenci bapanya sendiri.

Si kembar itu,
yang pernah dianggap perampas kasih,
kini menjadi pemberi semangat,
supaya anak itu tidak sendiri,
mencari keredhaan Ilahi.

Makin lama,
makin ramai pula,
yang memberi kasih tanpa dipinta,
untuk anak yang serba kekurangan itu,
menduga iman untuk terus bersyukur,
kerana insan bernama sahabat,
terus menyayanginya.

Dewasa ini,
anak itu sudah makin mengerti,
ragam dunia yang beraneka,
marah bondanya erti sayang,
keruh wajah bapanya,
tanda perilaku si anak tidak sesuai,
dengan adat dan syariat.

Anak itu,
semakin matang,
meniti arus kehidupan,
yang dulu hanya tahu merengek lapar,
kini bisa memasak sendiri,
yang dulu hanya bergantung kepada wang bapanya,
kini sudah mampu memegang duit sendiri,
yang dulu ke sekolah,
dihantar dan dijemput bak puteri,
kini mengharap lindungan Ilahi,
bermusafir sendiri.

Ketahuilah,
duhai ayah bonda,
anakmu itu,
sungguh menyayangi kalian,
walau tidak mampu menjadi anak yang terbaik.

Percayalah..
anak itu sedang berusaha dan berdoa untuk menjadi terbaik di hati kalian,
dan tempat yang anak itu duduki,
kejayaan yang dimilikinya,
adalah dari usaha kalian,
yang tidak pernah berbelah bagi,
memberi pendidikan akhlak dan akademik,
untuk menjadi orang yang berguna,
kepada agama,keluarga dan negara,

Semua itu,
pasti tidak akan terjadi,
tanpa doa kudus kalian dan izin Allah,
membuatkan anak itu,
tidak jemu-jemu,
mengucap syukur,
kerana kalianlah kedua orang tuanya.

Walaupun anak itu,
tidak selalu di sisi,
tidak selalu menyenangkan hati,
dia masih anakmu...

Semoga Allah,
sentiasa memberkati,
melindungi,
mengasihi,
membalas jasa kalian,
dengan sebaik-baik ganjaran.
Berbahagialah di dunia dan akhirat di sisiNya.













Wednesday, March 23, 2011

Serunding Untuk Along..

Bismillahirrahmanirrahim..


Sudah sekian lama blog ini tidak disajikan dengan tulisan-tulisan yang baru.

Mungkin hari ini,semangat untuk menulis baru datang.



******************************************************************************************

Bandar Iskandariah masih sama.Walaupun episod hitam itu baru sahaja sebulan berlalu,bandar ini sudah kelihatan aman.Udara dinginnya pun tak berubah,cuma kadang-kadang terasa bahang dek sinaran matahari yang terik.



Setelah berada dalam perjalanan hampir sehari suntuk,kami tiba di rumah.Alhamdulilah,rumah kami masih selamat dari sebarang kejadian pecah rumah dan seumpamanya.



Perut terasa berbunyi.Aku tahu perut minta diisi,tapi nafsu makanku hilang entah ke mana.Bilik yang berdebu segera kusapu agar senang untukku mengemas barang.Keperluan perut aku biarkan sahaja ia berbunyi berlagu sendu.Kejam sungguh aku pada diri sendiri.



Selesai mengemas,aku mencari makanan di dalam peti ais.Barang mentah hampir habis.Terbang habis 'mood' untuk memasak.Tiba-tiba,aku teringatkan serunding yang Mama bekalkan untukku.



Bekas tinggi oren itu kubuka.Lantas mengajak rakan-rakan serumah yang lain untuk menjamah sama.Perutku akhirnya berhenti berbunyi.



Sambil menjamah serunding beserta bubur,mindaku teringat kembali kenangan-kenanganku di Malaysia,tanah air yang sangat aku cintai.



*****************************************************************************************

"Assalamua'laikum,"ucapku ketika kaki menjejak rumah.

Adik-adikku yang membuka pintu.Aku bergegas menunaikan solat maghrib kerana beberapa minit lagi waktu Isyak pula akan tiba.Bukan aku sengaja untuk melambat-lambatkan solat,tapi aku baru sahaja pulang dari menemui kawan-kawan lamaku di sekitar Shah Alam.Dalam perjalanan pulang,aku pula tersesat jalan dek terkeliru oleh pelbagai lebuh raya yang baru dibina.



Azan Isyak berkumandang sejurus aku selesai solat maghrib.Tanpa lengah,aku kerjakan pula solat Isyak dengan wudhuk solat Maghrib.Kemudian,aku turun ke bawah untuk membantu ibuku memasak serunding.



Bau serunding tadi sudah tidak sekuat tadi ketika aku tiba di rumah.Aku menjengah dapur.Ibuku tiada di situ malah api dapur pun telah dimatikan.

"Serunding dah siap kot.Kesian Mama masak serunding sorang-sorang,"bisik hati kecilku.



Aku melangkah ke ruang tamu,kulihat Mama sudah terbaring kepenatan di atas sofa.Matanya terpejam.Rasa bersalahku kerana tidak menolongnya masak serunding menjadi-jadi.Kasihan benar melihatnya kepenatan begitu.Cepat-cepat aku membuka televisyen untuk mendamaikan hati yang gundah.



"Along,nanti tolong sambung kacau serunding atas dapur tu ye?,"tiba-tiba Mama bersuara.

"OK,"jawabku ringkas.

Belum siap lagi serunding ni,boleh tolong lagi,fikirku.



Tet..Tet..

Telefon bimbitku berbunyi.



"Along,ada orang 'call' awak,"laung Mama dari arah ruang tamu.

Aku terus membalik-balikkan serunding dalam kuali bersaiz besar itu.

'Call' tu tak penting,yang lebih penting tolong Mama masak serunding,monologku lagi.



"Along,awak naik la dulu.Tengok siapa 'call'.Mama ambik alih 5 minit,kejap lagi awak sambung lagi,"suara Mama muncul tiba-tiba dari arah belakangku.Entah bila Mama ke dapur,tidak pula aku perasan.



Bergegas aku naik ke atas untuk melihat siapakah gerangan yang menghubungi aku.Rupa-rupanya,hanya mesej sahaja yang kuterima.Tiada siapa pun yang menghubungi aku malam itu.



Usai membalas mesej,aku turun semula untuk memasak serunding.Setiba di dapur,aku lihat ibuku dari belakang.Lehernya berpeluh-peluh,tangan kirinya mencekak pinggang cuma sesekali membetulkan posisi kuali,mukanya berminyak-minyak menahan udara panas yang terbit dari masakannya manakala tangan kirinya tak henti-henti membalik-balikkan serunding.

Aku tahu kakinya tidak mampu berdiri lama,pinggangnya pasti terasa sengal.Semuanya dilakukan demi kasih sayang seorang ibu terhadap anak-anaknya.Hatiku tersentuh.



Lalu kurapati dirinya,senduk ditangannya kuambil.Aku sambung semula kerja-kerja memasak serunding.Keesokan harinya,Mama menyambung kerjanya.



"Serunding kena kacau lama-lama atas dapur.Baru garing.Sedap,"katanya apabila aku menjengahnya di dapur.



"Garen-garen ke,Mama?,"tanyaku bergurau.Kami ketawa bersama.Aku dan Mama memang suka mengajuk loghat orang Perak.



"Pijak belakang Mama kejap,"pinta Mama kepadaku.



Tanpa membuang masa,aku menuruti arahannya.hanya itu sahaja yang aku mampu lakukan untuk membalas jasa-jasanya.



*****************************************************************************************

Lamunanku terhenti apabila melihat rakan-rakanku sudah habis makan bubur masing-masing.

Sebenarnya,aku memang sengaja makan lambat-lambat untuk menikmati serunding yang Mama buat untukku dengan penuh kasih sayang.



Serunding Mama bukanlah serunding terbaik di dunia,tapi bagiku inilah serunding terbaik untuk Along.Setiap kali aku rindukan Mama,aku jamah sedikit serundingnya.Seolah-olah aku dapat merasa kasih sayangnya menjalar di segenap tubuh apabila aku menjamah serundingnya.

Maha Hebat Allah,Tuhan yang menciptakan makhluk yang berkasih sayang keranaNya.



Terima kasih,Mama atas jasa-jasa,doa dan kasih sayangmu buat kami semua.

Ya Allah,peliharalah keselamatannya di dunia dan akhirat kerana kami begitu mengharapkan doa kudus daripadanya.

Semoga Allah menjadikan orang-orang yang menyayangiku merupakan jiranku di syurgaNya.Amin.



Sabda Rasulullah SAW: “Rugilah seseorang itu, walaupun telah diberi kesempatan hidup bersama kedua ibu dan bapanya atau salah seorang mereka ketika mereka tua namun kedua orang tuanya tidak memasukkannya ke dalam syurga(disebabkan dia mencuaikan mereka di dunia)”